Saturday, August 3, 2013

Pemisah selatan Thai guna taktik bakar


Bangkok: Sebanyak 13 kejadian membakar melanda tiga wilayah di selatan Thailand selain beberapa serangan bom semalam menyebabkan seorang anggota keselamatan terbunuh.

Kejadian berlaku di Yala, Pattani dan Songkla turut menyebabkan empat lagi cedera, kata jurucakap Ibu Pejabat Operasi Keselamatan Dalam Wilayah ke-4 Tentera, Kolonel Pramote Promin.
Pihak berkuasa dan tentera Thai mengesyaki satu kumpulan pemisah di bawah naungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) bertanggungjawab.

Serangan pertama berlaku pada 3 pagi semalam di Yala apabila penyerang membakar beberapa kilang, pokok getah dan menara tenaga, kata polis.

Di daerah Yaha, sebutir bom meletup ketika sekumpulan renjer meronda menyebabkan ketua unit itu maut.

Di Pattani, sebuah syarikat pengedaran motosikal dibakar selain kedai runcit di sebelah balai polis Khok Po dan sebuah kedai pakaian.

Dua orang cedera kerana kebakaran itu dan 60 motorsikal rosak, kata polis. Di Songkla, sebuah gudang perabot dan beberapa rumah penduduk dibakar.
Kejadian ini bertujuan mencetuskan huru-hara. Ia memberi kesan di kawasan serangan, kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Lt Jen Paradorn Pattanatabut.

Paradon mengesyaki satu kumpulan di bawah BRN sebagai dalang serangan meskipun pergerakan itu berikrar memberhentikan keganasan sepanjang Ramadan yang bermula pada 10 Julai lalu.

Keseluruhannya, bilangan serangan ketika Ramadan menurun 39 peratus dan angka korban juga turun 37 peratus berbanding Ramadan tahun lalu. Tetapi, masih ada kumpulan lain mahu cetus kekacauan supaya wujud perasaan saling tidak percaya, kata Pramote.

Tentera Thai dalam keadaan berjaga-jaga kerana tempoh 10 hari terakhir Ramadan biasanya menyaksikan peningkatan serangan, kataya lagi.

Kerajaan Thai sudah memulakan rundingan dengan BRN di Malaysia sejak beberapa bulan lalu bagi memulihkan keamanan di selatan Thai.
AGENSI 

No comments:

Post a Comment