Thursday, January 16, 2014

Kerajaan perlu bertindak tegas


IPOH 15 Jan. - Kerajaan diminta bertindak segera terhadap Pengarang The Herald, Lawrence Andrew yang berkeras mahu semua gereja Katolik di Selangor terus menggunakan kalimah Allah kerana tindakan itu melibatkan kesucian Allah dan agama Islam.
Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias berkata, sekarang adalah masa yang paling sesuai tindakan diambil kerana perbuatan Andrew jelas melanggar Perlembagaan Negara selain mampu menimbulkan kesan tidak elok pada negara.
"Kita telah berlembut dan berdiplomasi terlalu lama terhadap mereka, kita tidak boleh begitu kerana perkara tersebut melibatkan kesucian umat Islam, kesucian Allah dan melibatkan Perlembagaan.
"Sepatutnya isu yang melibatkan keselamatan, agama dan ketenteraman awam, kerajaan tidak boleh berlengah dan beri ruang masa terlalu lama kerana akhirnya beri kesan tidak elok kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri Perak di sini hari ini.
Mohammad Kazim berkata, perbuatan yang dilakukan golongan berkenaan telah melanggar Perlembagaan dan tidak sewajarnya terus dibiarkan.
"Gunakanlah istilah God yang ada dalam Bible. Mengapa mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan ceramah mereka sedangkan sebelum ini amat jarang atau kekok untuk mereka menggunakan bahasa Melayu.
"Jangan pula ada orang Melayu khususnya ahli agama kita yang kata kenapa kita nak bising kerana ada pendapat kata 1,300 tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah ada yang mengguna kalimah Allah pada bangsa dan agama tertentu.
"Pada saya kedatangan Nabi Muhammad untuk membersihkan tauhid dan membetulkan semula keadaan yang tidak betul itu.
"Adakah mereka mahu mengikut zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad atau nak mengikut selepas kedatangan baginda," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140116/dn_05/Kerajaan-perlu-bertindak-tegas#ixzz2qXNTMx4N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment