|
BANGKOK - Perdana Menteri sementara Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menggesa para penunjuk perasaan menyatakan kemarahan mereka terhadap beliau melalui peti undi dan menegaskan bahawa pilihan raya merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis politik di negara itu yang semakin meruncing.
Yingluck berkata demikian selepas membuat satu perjumpaan bagi membincangkan cadangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini yang mahu pilihan raya umum yang dijadualkan pada Februari depan ditangguhkan.
Bagaimanapun, wakil parti-parti pembangkang termasuk para pegawai suruhanjaya berkenaan tidak menghadiri perbincangan tersebut.
"Sekiranya rakyat tidak suka dengan kerajaan ini, mereka boleh keluar dan mengundi," katanya.
Kumpulan penunjuk perasaan antiYingluck masih meneruskan kempen untuk melumpuhkan Bangkok yang memasuki hari ketiga semalam.
Para penunjuk perasaan itu berkumpul dan menutup laluan utama ke bandar raya ini.
Ketegangan juga semakin meningkat semalam apabila dua penunjuk perasaan cedera ditembak lelaki bersenjata yang tidak dikenali, manakala satu letupan kecil menggegarkan kediaman milik salah seorang pemimpin pembangkang.
Tunjuk perasaan yang bermula pada Isnin lalu itu bertujuan mendesak Yingluck meletakkan jawatan, manakala sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk melaksanakan pembaharuan bagi menamatkan rasuah dan politik wang di Thailand.
Para penunjuk perasaan juga mahu menggagalkan pilihan raya umum yang diumumkan oleh Yingluck pada 2 Februari depan kerana bimbang pemimpin yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra itu kembali berkuasa.
Para penunjuk perasaan yang diketuai Suthep Thaugsuban yang juga bekas timbalan perdana menteri itu menuduh Yingluck menjadi boneka kepada Thaksin yang juga abangnya.
Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 selepas kerajaannya didakwa melakukan penyalahgunaan kuasa. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2qVN3TArS
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment