Thursday, January 16, 2014

UMNO beri surat tunjuk sebab kes tumbuk Kamalanathan


KAMALANATHAN


KUALA LUMPUR - UMNO akan memberikan surat tunjuk sebab kepada seorang anggotanya yang didakwa telah menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan baru-baru ini, kata Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata, surat itu perlu dijawab individu terbabit, sebelum tindakan lanjut diambil.
"UMNO memandang serius terhadap tindakan tersebut dan kepimpinan tertinggi parti berasa kesal dengan insiden itu dan menganggapnya sebagai tidak sewajarnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tengku Adnan berkata, UMNO menolak tindakan kekerasan dalam apa-apa penyelesaian masalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor.
Katanya, dalam apa-apa hal pun, pendirian UMNO tetap teguh kepada penyelesaian masalah secara bermesyuarat dan perbincangan tanpa ada pertelingkahan atau bentuk kekasaran yang tentunya hanya akan mengundang keadaan lebih buruk.
Dalam kejadian Ahad lepas, Kamalanathan dilaporkan ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program dianjurkan di kawasan berkenaan.
Kejadian pada pukul 2.30 petang itu dikatakan berlaku sebelum Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC mengadakan mesyuarat bersama 20 anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2qVOxhdVu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment