Pengarah hospital berkenaan, Datuk Dr Jaafar Che Mat berkata, Muhammad Firdaus kini sudah menunjukkan perkembangan yang sangat positif, malah tiada sebarang komplikasi berlaku terhadapnya.
Beliau berkata, berat badan remaja itu juga meningkat sebanyak setengah kilogram setiap hari.
“Jika dalam tempoh dua atau tiga minggu ini tahap kesihatannya semakin baik, kita akan benarkan dia keluar. Lagi cepat lagi bagus kerana kita boleh fokuskan kepada tahap perkembangan lain pula,” katanya ketika ditemui semasa lawatan isteri kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin yang menyerahkan sumbangan kepada tabung Firdaus menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di hospital berkenaan, semalam.
Jaafar berkata, pihaknya juga kini menghadkan jumlah pelawat remaja berkenaan bagi mengelakkan proses pemulihan Muhammad Firadus terganggu.
“Jika bukan ahli keluarga, waris atau orang berkepentingan, mereka tidak dibenarkan melawat Firdaus.
“Kita tidak mahu, ada sebarang gangguan emosi yang lain terhadapnya memandangkan kita sedang berusaha membina elemen sosial dalam diri Firdaus agar tidak terlalu takut dengan orang, boleh berkomunikasi baik selain memberi tindak balas sepatutnya.
“Kita khuatir kalau ramai pihak luar datang melawatnya, fokusnya akan hilang,” katanya.
No comments:
Post a Comment