Friday, June 27, 2014

Tiga bebas, 10 kekal sabitan perhimpunan haram


Sebahagian yang dituduh dalam kes merusuh dan menyertai perhimpunan di Bukit Chandan Kuala Kangsar lima tahun lalu berdoa setelah Mahkamah Tinggi Taiping mengetepikan hukuman penjara di Taiping, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
TAIPING 26 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan 10 daripada 13 individu bagi mengetepikan sabitan berhubung kesalahan merusuh serta terlibat dengan perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, lima tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dalam penghakimannya membatalkan hukuman penjara dua tahun dan hanya mengekalkan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap 10 perayu terbabit.
"Selepas mengambil kira latar belakang perayu, mahkamah mendapati keputusan yang dibuat sebelum ini adalah tidak sewajarnya.
"Oleh itu, mahkamah memutuskan hukuman penjara dua tahun yang dihadapi perayu-perayu dibatalkan tetapi denda RM5,000 dikekalkan. Bagi tiga individu yang dibebaskan pula, sekiranya telah membayar denda, perlulah dipulangkan (wang denda)," kata beliau.
Sepuluh perayu yang dikekalkan sabitan bersalah ialah Bad Latif Mansor, 48, Suhana Abdullah, 50; Mohd. Faiz Mohd. Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd. Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd. Hasri Ismail, 40; dan Mohamed Ismail S.M. Abdul Kadir, 48.
Tiga perayu yang dilepas dan dibebaskan pula ialah Idris Mohd. Thaib, 47, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 39, dan Yusoff Jaafar, 49.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Nasfy berkata, tiga individu itu dilepas dan dibebaskan setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
"Bagi bakinya pula, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Oleh itu, mereka didapati bersalah," kata beliau.
Hakim Ahmad Nasfy membuat keputusan tersebut selepas mendengar rayuan untuk mengetepikan hukuman penjara dua tahun serta denda RM5,000 terhadap kesemua 13 perayu berkenaan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 13 September tahun lalu.
Kesemua mereka didakwa menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang iaitu menentang satu proses perundangan upacara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di bawah Perkara XV1(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut selepas solat Jumaat, 6 Februari 2009 di Jalan Istana, Bukit Chandan di Kuala Kangsar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud manakala kesemua tertuduh diwakili empat peguam yang diketuai oleh Aminuddin Zulkipli.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140627/ma_01/Tiga-bebas-10-kekal-sabitan-perhimpunan-haram#ixzz35n3dUkc0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment