|
SYDNEY - Penerbangan Malaysia MH370 hampir pasti menggunakan sistem kawalan autopilot apabila ia kehabisan bahan api dan terhempas, kata beberapa pegawai Australia semalam.
Fungsi autopilot merupakan kaedah penerbangan menggunakan sistem komputer pesawat.
Para penyiasat belum dapat merungkai misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac lalu walaupun menghabiskan masa berbulan-bulan meneroka Lautan Hindi.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, berdasarkan analisis keseluruhan maklumat oleh kumpulan pakar penerbangan itu, mereka yakin MH370 menggunakan fungsi autopilot apabila ia terhempas.
"Jika tidak, pesawat itu tidak akan terbang mengikuti laluan teratur seperti yang dikesan oleh beberapa buah satelit," katanya kepada pemberita. Pendapat beliau disokong oleh komisioner Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan.
"Jelas pesawat itu terbang lurus dalam laluan di Lautan Hindi secara autopilot sehingga MH370 kehabisan bahan api," katanya.
Pesawat itu terbang dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing apabila ia mengubah laluan dan hilang sekali gus mengejutkan dunia.
Bangkai atau serpihan kapal terbang itu masih belum ditemui di sebalik operasi mencari besar-besaran di laut dan udara yang diketuai oleh Australia.
Sehingga kini, terdapat pelbagai teori bagi menjelaskan kehilangan MH370 termasuk pesawat itu dirampas, perbuatan juruterbang dan kegagalan mekanikal.
Sementara itu, semakan data mengenal pasti satu kawasan seluas 60,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi sebagai lokasi pencarian MH370 seterusnya
Fasa baharu pencarian pesawat berkenaan akan bermula pada Ogos depan dan dijangka memakan masa sehingga 12 bulan.
"Kami kini mengubah tumpuan ke satu kawasan yang lebih jauh ke selatan berdasarkan analisis yang dilakukan," kata Truss.
Menurutnya, zon pencarian baharu itu terletak sekitar 1,800 kilometer ke barat bandar raya Perth. Kawasan itu pernah menjadi zon pencarian udara MH370 tetapi gagal menemui sebarang serpihan.
Sebanyak dua kapal iaitu Fugro Equator dan Zhu Kezhen mula meninjau kawasan tersebut sebelum pencarian di dasar laut dilakukan secara intensif bagi mencari kapal terbang hilang itu. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz35nMHEaai
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment