Friday, June 27, 2014

Peralat Melayu & Bumiputera untuk kayakan kroni


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR:Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai 'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah kepada amalan rasuah.
"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat," ujarnya.
Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) melalui satu konsortium.
Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.
Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

"Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.
Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah jauh lebih murah.

"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014

No comments:

Post a Comment