Thursday, August 7, 2014

Australia isytihar hari berkabung bagi mangsa MH17 hari ini


Khamis, 7 Ogos 2014 @ 11:21 AM
MELBOURNE: Australia mengisytiharkan berkabung di seluruh negara hari ini dan mengibarkan bendera separuh tiang bagi mengenang mangsa pesawat Penerbangan malaysia MH17 yang terhempas di Ukraine.

Australia hilang 38 rakyat dan penduduknya, termasuk kanak-kanak, apabila pesawat terbabit dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan mengorbankan semua 298 penumpang serta anggota kru.

Loceng gereja dibunyikan di seluruh negara ketika upacara memperingati mangsa dijalankan di Gereja St Patrick di Melbourne, yang dipilih kerana 16 daripada 38 mangsa dari Australia berasal dari negeri Victoria.

Perdana Menteri, Tony Abbott dan dan Gabenor-Jeneral, Sir Peter Cosgrove adalah antara orang kenamaan yang menyertai upacara itu di sisi anggota keluarga mangsa pada upacara memperingati mangsa terbabit.

"Hari ini adalah hari berkabung dan kami akan mengingati 298 orang yang tidak bersalah yang maut dalam penerbangan MH17 itu," kata Abbott sebelum upacara berkenaan.

"Kami amat sedih untuk semua yang terbabit, khususnya 38 yang berasal dari Australia. Hari ini kami mengingati dan memberi penghormatan kepada mereka," kata Abbott.

Australia menghantar beratus-ratus anggota polis, pertahanan dan pegawai lain untuk membawa balik mayat rakyatnya yang hilang di Ukraine.

Namun Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata keadaan keselamatan di timur Ukraine tidak mengizinkan misi itu diteruskan dengan selamat.

Setakat ini 228 keranda cebisan mayat sudah diterbangkan ke Belanda, yang mempunyai mangsa paling ramai dalam kejadian itu. - AFP

No comments:

Post a Comment