Bekas tahanan Khmer Rouge, Soum Rithy (kiri) menangis di samping seorang lagi tahanan penjara S-21 yang terselamat, Chum Mey (kanan) di Tribunal yang mengenakan penjara seumur hidup ke atas Khieu Samphan di Kemboja hari ini. |
Khamis, 7 Ogos 2014 @ 12:45 PM
PHNOM PENH: Tribunal yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua pemimpin tertinggi Khmer Rouge atas tuduhan jenayah peperangan berikutan peranan mereka dalam keganasan negara berkenaan pada 1970-an.
Keputusan bersejarah itu diumumkan hari ini terhadap Khieu Samphan, bekas pemimpin negara berkenaan yang berusia 83 tahun dan Nuon Chea, orang kanannya yang berusia 88 tahun.
Kedua-dua mereka, dalam keadaan kesihatan yang tidak memuaskan, menafikan melakukan kesalahan.
Tuduhan ditumpukan kepada perpindahan berjuta-juta orang dari bandar Kemboja dan tapak hukuman di barat daya di mana beribu-ribu orang ditembak dan dikebumi dalam kubur secara beramai-ramai.
Kira-kira 1.7 juta orang maut di bawah pemerintahan mereka antara 1975 hingga 1979 akibat kebuluran, tidak mendapat rawatan perubatan, lebihan bekerja dan dibunuh. - AP
No comments:
Post a Comment