JAKARTA - Mahkamah Perlembagaan Indonesia semalam mula mendengar dakwaan untuk mencabar keputusan pilihan raya Presiden pada 9 Julai lalu yang dimenangi oleh Gabenor Jakarta, Joko "Jokowi" Widodo.
Kes itu difailkan pada bulan lalu oleh lawan kepada Jokowi, Prabowo Subianto yang merupakan bekas jeneral tentera Indonesia dan menantu bekas Presiden Suharto.
Dalam dakwaannya, Prabowo menyatakan peluangnya untuk memenangi pilihan raya itu musnah sama sekali akibat penipuan besar-besaran dan bersistematik membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.
Pada 22 Julai lalu, suruhanjaya itu mengisytiharkan Jokowi sebagai pemenang selepas beliau memperoleh 53 peratus atau lebih lapan juta undi mengatasi Prabowo.
Wakil-wakil Prabowo meninggalkan pusat pengiraan undi sebelum proses pengiraan undi berakhir.
Prabowo bagaimanapun enggan mengaku kalah dan meminta para penyokongnya supaya menolak keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya itu dengan alasan ia dicemari kelemahan selain bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Peguam Prabowo, Makdir Ismail memberitahu mahkamah itu semalam bahawa berjuta-juta undi yang dikira di seluruh Indonesia adalah tidak sah berikutan terdapat beberapa percanggahan keputusan di lebih 55,000 pusat pembuangan undi di lapan wilayah termasuk Jakarta, Jawa Timur, Papua Barat dan semua 14 daerah di Papua.
Makdir mendakwa, penipuan yang berlaku antara lain melibatkan pegawai-pegawai pilihan raya yang menambah undi untuk Jokowi, pengundi menggunakan kad pengenalan meragukan manakala proses pengiraan semula undi dijalankan secara tidak konsisten.
Menurut dokumen mahkamah, Prabowo mendakwa, pengiraan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati beliau sebaliknya mengatasi Jokowi dengan kemenangan tipis 67 juta atau 50.25 peratus undi berbanding 66.5 juta atau 49.7 peratus undi yang diperoleh lawannya walaupun jumlah itu bukan 100 peratus atau keseluruhan kertas undi.
"Kami amat, amat kecewa dengan amalan tidak adil dan tidak jujur melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya," kata Prabowo di mahkamah.
Dalam pada itu, beratus-ratus penyokong Prabowo berhimpun di luar mahkamah berkenaan yang terletak berdekatan dengan Istana Presiden di sini.
Lebih 1,500 anggota polis turut dikerahkan untuk mengawal mahkamah dan sembilan orang hakim yang mengadili kes tersebut.
Pilihan raya pada 9 Julai lalu merupakan Pilihan Raya Presiden ketiga selepas Indonesia bebas daripada cengkaman pemerintahan diktator Suharto selama 30 tahun.
Perbicaraan kes itu akan disambung semula hari ini manakala keputusannya dijangka diketahui pada 21 Ogos ini.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan adalah muktamad di Indonesia.
Tiada rayuan boleh dibuat selepas mahkamah tersebut mengeluarkan keputusan.
Dalam pada itu, para penyokong Prabowo mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Indoenesia di Surabaya bagi membantah keputusan pilihan raya tersebut.
Anggota-anggota polis pencegah rusuhan kemudian menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut dengan sebahagian penyokong Prabowo dipukul. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz39f0jp2sK
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment