KUALA LUMPUR - Australia memilih firma Belanda, Fugro Survey Pte Ltd., untuk menerajui usaha pencarian laut sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, Fugro akan menggunakan dua buah kapal yang dilengkapi kenderaan laut dalam yang ditunda dan membawa pakar untuk menjalankan operasi pencarian.
"Kapal akan mencari di dasar laut menggunakan peralatan sonar imbasan sisi, peralatan gema dan kamera video untuk mencari dan mengenal pasti sebarang serpihan.
"Saya tetap yakin kami akan mengesan pesawat yang hilang dalam tumpuan kawasan pencarian," katanya dalam sidang akhbar di Canberra yang turut disalur secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata firma yang berpangkalan di Perth itu sudah biasa dengan operasi pencarian MH370 yang dilakukan Australia dengan menawarkan 'penyelesaian teknikal yang berbaloi'.
Kini kapal milik firma itu, Fugro Equator menjalankan survei pemetaan dasar laut di kawasan baharu pencarian bersama kapal tentera laut China, Zhu Kezhen.
Truss berkata survei itu telah meliputi 60 peratus kawasan atau kira-kira 32,000 kilometer persegi sejak April lalu.
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang sedang menuju Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.
Namun, pihak Australia mengumumkan pada 26 Jun lalu bahawa kawasan pencarian akan diubah pula ke selatan di kawasan kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh' di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata survei pemetaan dasar laut setakat ini menemui beberapa anomali berkaitan geologi dasar lautan.
"Kawasan utara secara bandingan adalah mendatar dan dalam, dan ia menaik ke arah selatan dan permukaannya menjadi semakin sukar.
"Kami belum habis membuat pemetaan... (dan) masih mencari perincian, bentuk yang tidak kami ketahui (sebelum ini), gunung berapi bawah laut dan pelbagai benda lain. Jadi kami menemui beberapa kejutan semasa kami melakukannya," katanya.
Dolan tidak menolak kemungkinan kanyon dasar laut 'menyembunyikan' pesawat. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39f1IcshN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment