KUALA LUMPUR - Proses 'Sulh' atau perbincangan mengenai hak jagaan kekal tiga orang anak hasil perkongsian hidup antara penyanyi rock terkenal, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, dengan isterinya, Rozana Misbun, 36, (gambar kecil) gagal apabila wanita itu tidak hadir di Mahkamah Syariah di sini semalam.
Peguam Mohd. Hafizal Parcho yang mewakili Awie berkata, proses berkenaan hanya dihadiri anak guamnya di hadapan pegawai bertugas iaitu Surayah Ramlee di Pejabat Bahagian Sulh, Mahkamah Syariah.
"Sepatutnya hari ini (semalam) perbincangan antara pihak anak guam saya dan Rozana mengenai siapa akan menjaga anak-anak itu tetapi disebabkan Rozana gagal hadir, maka proses ini gagal dan mahkamah menetapkan kes diteruskan dengan sebutan semula.
"Pihak kami juga ada menerima faks daripada Rozana semalam (kelmarin) memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir tapi dia tidak menyatakan sebabnya," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini semalam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes pasangan selebriti tersebut.
'Sulh' merupakan satu daripada alternatif yang efektif kepada mana-mana pasangan selain kaedah perbicaraan dan timbang tara untuk mendapatkan penyelesaian rumahtangga.
Pada 21 Julai lalu, Awie yang popular dengan filem Sembilu berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anaknya dan perintah injunksi supaya isterinya itu tidak mendekatinya dan ketiga-tiga anak itu dengan apa jua cara.
Sementara itu, Awie ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai ketidakhadiran isterinya itu.
"Saya tidak pernah lalui perkara ini (Sulh), Rozana pun tidak hadir, jika dia hadir mungkin saya boleh memberi komen," ujarnya yang bernikah dengan Rozana di Songhkla, Thailand pada 20 Jun 2005 dikurniakan tiga anak.
Pada 4 Julai lalu, Awie didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rozana, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz39f2zbSkQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment