Tuesday, August 12, 2014

Bunyi mortar ganggu pasukan siasatan


Sepang: “Terasa seperti berada di medan perang kerana kami boleh mendengar dengan jelas bunyi mortar dilepaskan. Namun, atas faktor keselamatan, kami terpaksa berundur dan tidak dibenarkan berada di lokasi nahas,” kata pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintenden Soo Me Tong menceritakan pengalamannya sepanjang menyertai pasukan penyiasat antarabangsa MH17 di Ukraine.

Menurutnya, bunyi tembakan mortar ekoran pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Russia itu banyak mengganggu siasatan pasukan penyiasat antarabangsa MH17 terutama bagi memasuki kawasan nahas.


“Kami tidak boleh memasuki kawasan nahas bagi melakukan siasatan kerana keadaan terlalu bahaya dan kami perlu berundur daripada tempat itu.



“Untuk ke kawasan nahas, kami perlu berkumpul di pusat sehenti di mana jaraknya dengan lokasi pesawat adalah kira-kira 100 meter (m). Malah, dianggarkan seramai 200 petugas berada di pusat berkenaan dan setiap kali masuk ke sana, hanya 20 petugas dari Malaysia dibenarkan masuk ke kawasan nahas,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.


Seramai enam petugas pasukan penyiasat antarabangsa MH17 terdiri daripada empat pegawai forensik dan dua anggota VAT69 PDRM tiba di tanah air dari Ukraine jam 6.40 pagi semalam.


Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Amer Awal; Komander 69 Komando Datuk Azizan Abd Aziz dan Ketua Penolong Pengarah Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Mohamad Abdul Aziz.

Soo berkata, beliau akui sedih apabila melihat serpihan pesawat MH17 selain barangan milik mangsa terutama milik warga negara ini yang ditemui di lokasi nahas berkenaan.


“Saya ternampak ada serpihan pesawat, barangan peribadi serta surat tertulis nama rakyat Malaysia yang sangat menyentuh perasaan kami.

“Sepanjang berada di lokasi, kami bersama pasukan daripada Australia dan Belanda bekerjasama mencari bahan bukti berkait nahas berkenaan,” katanya.


Dalam pada itu, Soo berkata, peluang bertugas dalam pasukan penyiasat antarabangsa MH17 adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat dirinya serta anggota yang lain.


“Ini satu pengalaman tidak dapat dilupakan apabila diberi tugas melakukan siasatan dalam nahas terbesar yang membabitkan banyak nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment