Tuesday, August 12, 2014

Ikrar Erdogan



Istanbul: Perdana Menteri Tayyip Erdogan semalam bersiap sedia membawa Turki ke arah ‘era baru’ yang dijanjikannya apabila mula memegang jawatan presiden kira-kira dua minggu lagi selepas menumpaskan lawannya dan memenangi pilihan raya presiden negara itu, kelmarin.

Erdogan berjanji membina ‘Turki baru’ dan memperbaiki keadaan di negara yang berpecah-belah itu dalam ucapannya di balkoni ibu pejabat partinya di Ankara pada jam 12 tengah malam di depan ribuan penyokong, sejurus selepas diisytiharkan menang secara tidak rasmi.


Dalam ucapan itu - yang menjadi satu tradisi setiap kali kemenangannya - Erdogan menggesa semua pihak berdamai selepas kempen pilihan raya yang ada kalanya pahit.

“Hari ini kita meninggalkan satu era dan mengorak langkah ke era baru pula.


“Mungkin pandangan politik kita berbeza. Begitu juga gaya hidup, mazhab, nilai murni dan bangsa etnik kita mungkin berlainan.


“Namun, kita semua warga Turki... setiap seorang daripada kita adalah pemilik negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran Turki kini berdepan kemungkinan bermasalah apabila Erdogan berusaha mengukuhkan kuasa presiden - jawatan yang sebelum ini lebih dianggap sekadar satu formaliti.

Erdogan berkhidmat sebagai perdana menteri sejak 2003 dan dalam tempoh itu berusaha keras memodenkan Turki serta menjadi lebih menonjol di peringkat antarabangsa.

Kini dia mungkin menjadi presiden sebannyak dua kali untuk tempoh lima tahun setiap satu bererti dia berkemungkinan memegang kuasa sehingga 2024.

Pilihan raya Ahad lalu adalah pilihan raya presiden pertama dalam sejarah Turki.

Presiden negara itu sebelum ini dipilih Parlimen.

Dalam ucapannya semalam, Erdogan turut berjanji akan ‘presiden rakyat.’

Dia akan mengangkat sumpah jawatan pada 28 Ogos ini dan seterusnya timbul pula spekulasi mengenai siapa yang bakal menggantikannya sebagai perdana menteri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment