• Kerajaan campuran boleh dibentuk di Selangor

SHAH ALAM - Kerajaan campuran antara Pas dan BN tidak mustahil diwujudkan di Selangor, walaupun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyertai mana-mana parti politik selepas dipecat sebagai ahli PKR pada Sabtu lalu.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kerajaan campuran itu boleh diwujudkan sekiranya Pas dan BN kekal menyokong Abdul Khalid.

"Jika wujud undi tidak percaya dan beliau kekal, maka PKR dan DAP perlu menerimanya dan mungkin ia membawa kepada kerajaan campuran (pertama) dalam sejarah politik Malaysia tanpa perlu ke pilihan raya negeri baharu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Sivamurugan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar walaupun beliau tiada parti.

"Yang penting ketika ini adalah perkenan sultan terhadap Abdul Khalid sebagai menteri besar.

"Bagaimanapun, Abdul Khalid perlu memastikan bahawa dia mempunyai sokongan majoriti Dun kerana sultan sudah diyakinkan oleh beliau sendiri bahawa beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti Adun," katanya.

Menurutnya, Abdul Khalid memerlukan mandat yang baik supaya tidak dituduh kemaruk kuasa.

Ketika mengulas sama ada Exco sedia ada perlu dirombak dan digantikan dengan hanya wakil dari Pas dan BN, Sivamurugan berkata, jika Exco yang tidak mahu bersama Abdul Khalid meletak jawatan atau diganti, maka menteri besar itu boleh mempertimbangkan untuk mengambil Exco daripada BN.

Beliau berkata, Pas mempunyai 15 kerusi, BN (12) dan Abdul Khalid (1) menjadikan sebanyak 28 kerusi manakala di sebelah pihak lagi, DAP mempunyai 15 kerusi dan PKR (13), juga berjumlah 28 kerusi.

"Jika ditolak (kerusi) Speaker, jumlah kerusi yang tinggal (untuk menolak Abdul Khalid) adalah 27 kerusi, melainkan Speaker menggunakan kuasa veto dalam keadaan memerlukan.

"Ini bermakna Abdul Khalid yakin ada sokongan daripada sebilangan Adun PKR yang membolehkan beliau mendapat persetujuan untuk dikekalkan sebagai menteri besar," katanya.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, jika sidang Dun tergempar diadakan segera, ia boleh menghentikan segala spekulasi. Mengikut jadual sidang Dun adalah pada November depan.

Semalam, Abdul Khalid menyarankan Exco yang tidak boleh bekerjasama dengannya supaya meletak jawatan.

Difahamkan, hari ini, kesemua Exco akan berjumpa dengan Abdul Khalid untuk menyatakan sama ada masih kekal menyokong beliau atau sebaliknya.

Semalam, semua 12 Adun BN Selangor telah menyatakan sokongan penuh kepada
Abdul Khalid, manakala Pas pula akan mengadakan mesyuarat pada 17 Ogos ini bagi menentukan sama ada parti itu akan mengambil pendirian yang sama.