• Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) campur tangan dan meneliti proses pemecatan beliau dari PKR.

Kata beliau, walaupun undang-undang ROS tidak membenarkan urusan pertubuhan termasuk parti politik dibawa ke mahkamah, namun beliau akan menggunakan saluran itu.

"Saya tidak akan membawa perkara ini ke mahkamah, tapi saya akan juga meminta Pendaftar Pertubuhan untuk melihat kepada tatacara bagaimana pertubuhan-pertubuhan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka," katanya pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang hasrat beliau untuk meneruskan tindakan mahkamah ke atas PKR selepas memecatnya tanpa memberi peluang untuk memberi penjelasan.

Jumaat lalu, Abdul Khalid telah meminta Lembaga Disiplin PKR menangguhkan sesi pendengaran berhubung dakwaan salah laku dan mencadangkan ia diadakan pada 15 Ogos.

Bagaimanapun katanya Lembaga Disiplin meneruskan sesi pendengaran itu tanpanya pada Sabtu lalu dan memutuskan supaya keahliannya digugurkan serta-merta.

Abdul Khalid dipecat dari keahlian PKR kerana enggan mematuhi keputusan parti agar memberi laluan kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor.