Oleh Ikram Ismail
Kuala Lumpur: “Ayah pesan suruh saya jaga adik jika dia mati dan dia mahu saya jadi wali perkahwinan adik perempuan iaitu Zulaika dan Danisha.”
Itulah pesanan terakhir pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Shaikh Mohd Noor kepada anaknya sulungnya, Shaikh Danish, 13.
Menurut Danish, perbualan itu berlaku Jun lalu di Pandamaran, Klang ketika sambutan kelahiran datuknya, Shaikh Mahmood Shaikh Abdul Rashid, 70.
“Ketika itu, ayah banyak bercakap pasal mati dan saya sebagai anak memang perasan perubahannya.
“Dia kata kalau dia tak ada, dia mahu saya jaga adik beradik termasuk Zulaikha,” katanya.
Danish berkata, perbualan terakhir dalam telefon antara dia dan ayahnya ialah 12 Julai lalu iaitu sebelum ayahnya menaiki pesawat.
“Kebetulan kami adik-beradik akan berbuka puasa dan dia bertanyakan menu untuk berbuka.
“Selain itu, dia juga mengingatkan saya supaya jangan tinggal solat,” kata Danish.
Menurut Danish, dia berkeinginan ke Amsterdam bagi mengiringi jasad ayahnya untuk dibawa pulang ke Malaysia.
“Saya diberitahu nama saya digugurkan daripada senarai ahli keluarga yang akan ke sana dan digantikan dengan ahli keluarga lain.
“Mendengar keputusan itu, saya terasa seperti diketepikan kerana saya sepatutnya berhak,” katanya dengan nada sedih.
Katanya, dia juga sudah menelefon neneknya berkenaan hasratnya itu.
“Tapi nenek saya kata, tak payahlah ikut,” kata Danish.
Menurutnya, dia diberitahu ibunya permohonan rayuan kepada MAS sedang diusahakan.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu setakat mana keputusan itu,”katanya.
Selain Danish, Shaikh Mohd Noor mempunyai dua anak lagi iaitu Danisha, 11, Darwysh, 6 melalui perkahwinan pertamanya.
Perkahwinan dengan isteri sekarang iaitu Mardiani Mahdi, 42 dikurniakan seorang anak perempuan Darwisha Zulaikha, 2 di samping seorang anak tiri, Zulhilmi, 13.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31
No comments:
Post a Comment