JEDDAH 30 Ogos - Lebih 136,000 rakyat India yang akan mengerjakan ibadat haji tahun ini akan dibekalkan dengan kemudahan aplikasi telefon bimbit termasuk Google Maps, bagi memudahkan mereka menjalani ibadah itu.
Agensi berita Zee News melaporkan Misi Haji India, pendekatan menggunakan semua kemudahan peralatan dan gajet itu dilaksanakan bagi memastikan jemaah tidak mengalami sebarang masalah di Arab Saudi.
"Satu daripada masalah utama dialami jemaah haji India adalah mereka sering sesat dan tidak dapat mencari tempat penginapan mereka terutamanya di bandar Mina.
"Justeru, kami akan menggunakan semua teknologi era baharu yang ada termasuk Google Maps dan aplikasi telefon pintar, Facebook, YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS), bagi memastikan perjalanan jemaah haji kami berada dalam keadaan baik," kata Konsul Jeneral India, BS Mubarak yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Arab News.
Beliau berkata, satu aplikasi telefon pintar mesra pengguna yang dikenali sebagai "Indian Haji Accommodation Locator" telah dilancarkan bagi mengatasi masalah ini.
"Sebaik sahaja memuat naik, apa yang perlu dilakukan adalah menekan ikon aplikasi dan masukkan nombor jemaah haji atau nombor pasport dan anda akan mendapat maklumat terperinci mengenai kediaman termasuk nombor bangunan, khemah atau pejabat.
"Selain itu, aplikasi itu juga menyediakan peta yang akan membantu jemaah ke mana-mana lokasi di Mekah, Mina atau Madinah," jelasnya.
Beliau menambah, setiap jemaah haji akan diberikan kad sim telefon bimbit Arab Saudi yang akan diaktifkan sejurus mereka tiba ke negara berkenaan.
"Kami juga akan menggunakan nombor telefon tersebut untuk memberi makluman penting dan perkembangan terkini kepada jemaah berkenaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment