Sunday, August 31, 2014

Rusia bekal senjata bantu pemberontak Ukraine - NATO


KIEV 30 Ogos - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam mendakwa, Rusia menyalurkan bantuan kereta kebal, kereta perisai, pelancar roket dan meriam kepada pemberontak pro-Kremlin, sekali gus mengukuhkan tuduhan pemimpin Barat bahawa pemberontak menerima bantuan daripada Rusia.
Agensi berita Al-Jazeera memetik Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata, tentera Rusia turut melancarkan serangan ke atas Ukraine sama ada dari Rusia atau dari dalam wilayah negara ini yang dikuasai pemberontak.
"Rusia terus mengekalkan kedudukan beribu-ribu anggota tenteranya berhampiran sempadan Ukraine.
"Walaupun sebelum ini Rusia berkeras menafikan dakwaan tersebut, kini semuanya sudah jelas di mana tentera Rusia dan peralatan tentera dihantar ke timur dan selatan Ukraine," jelas Rasmussen.
Beliau berkata, ia bukanlah satu kejadian kecil, tetapi merupakan sebahagian daripada cara yang digunakan untuk menggugat kestabilan Ukraine sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Rusia sebelum ini menafikan campur tangan mereka di Ukraine termasuk menyalurkan bantuan senjata kepada pemberontak dan menghantar tenteranya ke bandar Donetsk dan Luhansk.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, dakwaan NATO itu merupakan "satu tekaan' dan tidak disokong dengan sebarang bukti.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jawatan Kuasa Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andrei Lysenko berkata, seramai 789 orang tentera negara ini terbunuh sejak kerajaan melancarkan operasi ketenteraan di selatan negara ini pada pertengahan bulan April lalu.
Katanya lagi, sekurang-kurangnya 2,789 tentera lagi cedera dalam operasi berkenaan.

No comments:

Post a Comment