MOSCOW - Rusia menuntut penjelasan mengapa pasukan penyiasatan antarabangsa masih belum menyiarkan data kotak hitam pesawat Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, kata seorang menteri pertahanan dalam satu wawancara yang disiarkan semalam.
Moscow menyalahkan Ukraine berhubung tragedi itu yang mengorbankan semua penumpang dan kru pesawat MH17.
Barat pula mempercayai dakwaan Ukraine bahawa pesawat jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia menggunakan sebuah peluru berpandu darat ke udara.
"Tragedi MH17 mencetuskan lebih banyak persoalan. Namun, sejak kebelakangan ini, tidak ramai orang yang bercakap mengenainya," kata Timbalan Menteri Pertahanan, Anatoly Antonov kepada agensi berita RIA.
"Kenapa data kotak hitam yang mengandungi perbualan antara pegawai kawalan trafik udara dengan juruterbang MH17 tidak disiarkan? Mengapa data itu tidak dibentangkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa? Siapa yang tidak mahu ia didedahkan berlaku," katanya.
Ketika ini, Belanda mengetuai siasatan berhubung nahas berkenaan.
Sebanyak 195 rakyat Belanda menaiki pesawat berkenaan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur.
Tragedi pada 17 Julai lalu itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa yang kemudian melonjak apabila pemberontak pro-Rusia menghalang pasukan penyiasat daripada memasuki lokasi nahas bagi mencari mayat mangsa dan memeriksa bangkai pesawat.
Menurut Antonov, Rusia percaya sebuah jet pejuang jenis Su-25 milik Ukraine berada dekat pesawat MH17 ketika nahas berlaku. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Bugezu7n
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment