Sunday, August 31, 2014

RM1.9b untuk berhentikan pekerja MAS, kos lain?


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Untuk berhentikan pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sudah memerlukan RM1.9 bilion, apa halnya dengan kos-kos lain.
Demikian pertanyaan yang dilontarkan Datuk A Kadir Jasin di dalam blognya, hari ini.
Baginya, wang sebanyak RM1.9 bilion itu hampir cukup untuk menaikkan taraf sistem pengairan MUDA di Kedah dan Perlis yang menampung lebih 100,000 isi rumah atau kegunaan awam lain yang memberikan faedah kepada lebih ramai orang.

"Menyelamatkan MAS berulang kali ibarat menimbus perigi tanpa dasar. Bottomless pit, dalam bahasa Inggeris," tulisnya lagi.

Laporan media massa hari ini mengatakan MAS akan mengurangkan kakitangan seramai 6,000 orang sebagai sebahagian daripada langkah penyelamatannya.

Kos pampasan memberhentikan mereka adalah sebanyak RM1.9 bilion. Keseluruhan operasi menyelamat MAS daripada menjadi muflis akan menelan belanja RM6 bilion.

Bagi beliau, pengurangan bilangan kakitangan bukanlah perkara baru atau cetusan minda kelas dunia.

Menurutnya, sejak zaman MAS di bawah pemilikan swasta lagi (1994-2002) ia mencadangkan untuk mengurangkan kakitangan seramai antara 5,000 hingga 8,000 orang tetapi tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Sekarang apabila MAS sudah menjadi milik 100% kerajaan (melalui Khazanah Nasional Berhad) dan secara teorinya sudah “muflis” ia terpaksa melakukan yang lebih radikal kalau masih mahu diselamatkan, ujarnya lagi.

Beliau sudah banyak kali menyatakan pendirian mengenai MAS, iaitu, bubarkan, jual kepada swasta, selamatkan, tetapi tanpa terus membebankan kewangan negara, lantik pengurusan antarabangsa yang telah terbukti dan kelima, hapuskan campur tangan kerajaan yang merugikan. - HARAKAHDAILY 30/8/2014

No comments:

Post a Comment