Friday, September 19, 2014

4.3 juta rakyat Scotland keluar mengundi


Sebahagian pengundi beratur di luar pusat mengundi di Portobello berhampiran Edinburgh, Scotland, semalam.- REUTERS
EDINBURGH 18 Sept. - Kira-kira 4.3 juta rakyat Scotland keluar mengundi hari ini, dalam satu pungutan suara bagi menentukan, sama ada negara itu menjadi sebuah negara yang merdeka atau terus kekal bersama United Kingdom (UK).
Selepas menempoh hari berkempen terakhir yang begitu sengit semalam, pengundi mula memenuhi pusat mengundi di sekolah dan dewan yang dibuka sejak pukul 6 pagi waktu tempatan (2 tengah hari waktu Malaysia) bagi menentukan status hubungan antara kedua-dua negara, yang sudah terjalin selama 307 tahun itu.
Penggundian berjalan sehingga pukul 11 malam waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia) dan keputusannya dijangka diumumkan pada pagi Jumaat ini.
Kira-kira 97 peratus penduduk Scotland yang layak mengundi turun mengundi pada pungutan suara itu dan jumlah pengundi yang dijangka turun mengundi ialah sebanyak 80 peratus.
Sebanyak 2,600 pusat mengundi dibuka di seluruh negara, dengan keadaan di salah sebuah pusat pengundian di barat Edinburgh kelihatan orang ramai mula beratur sejurus pusat mengundi dibuka.
"Hari ini merupakan hari yang begitu istimewa, sekali dalam seumur hidup," kata seorang ketua pusat mengundi, Peter Macvean.
Dalam empat kaji selidik yang dijalankan semalam mendapati, 48 peratus penduduk Scotland mahukan kemerdekaan, manakala 52 peratus lagi mahu terus kekal bersama UK.
Kaji selidik berkenaan turut menunjukkan kira-kira 600,000 daripada 4.3 juta pengundi masih belum membuat sebarang keputusan sama ada menyokong kemerdekaan atau tidak.
- AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140919/lu_05/43-juta-rakyat-Scotland-keluar-mengundi#ixzz3Di6z26IO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment