KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu kediaman konduktor muzik Datuk Ramli MS dan Alyah di Bandar Kinrara, Puchong diserbu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang akhirnya terbongkar pasangan ini sudah berkahwin sejak 18 Mac 2013, Alyah akhirnya membuka mulut.
Kebetulan ketika berada di pusat beli-belah KLCC, BH Online terserempak dengan penyanyi berkenaan yang
baru selesai menjalani latihan Konsert Malaysia Tanah Airku di Dewan Filharmonik Petronas.
Kesempatan itu dimanfaatkan untuk bertanya isi hati Alyah selepas insiden berkenaan, apatah lagi kini sudah berstatus sebagai isteri kepada Ramli.
"Kehidupan saya macam biasa. Cuma mana-mana orang akan cakap tahniah. Tak kurang juga yang ucap Selamat Pengantin Baru. Malah ada yang usik saya dengan panggilan Datin.
"Mula mula janggal juga dengan panggilan itu. Alyah tak ambil pusing sangat gelaran itu. Insiden yang terjadi itu sudah tak mahu saya dikenang. Apa yang terjadi ada hikmahnya.
"Bukan saya tak pernah lalui kesukaran sedemikian rupa. Apa yang pasti saya mendapat maklum balas yang positif dan tak ada yang cakap belakang," katanya.
Bagi penyanyi lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ini, persoalan kenapa perkahwinan mereka perlu dirahsiakan lebih wajar diajukan sendiri kepada suaminya.
"Yang pasti, kami tak kahwin lari atau membelakangkan keluarga. Kami kahwin atas restu keluarga. Tak timbul isu saya menderhaka sehingga wujud cerita ibu saya menangis.
"Soal kenapa dirahsiakan itu, saya rasa biarlah dia (Ramli) yang jawab. Cuma di pihak saya, apabila berkahwin ini segala keputusan bukan atas diri sendiri. Sekarang dah ada suami, banyak benda kena rujuk kepada dia.
"Soal rahsia perkahwinan ini pun bukan suka suka. Hanya orang awam saja tak tahu tapi keluarga kami tahu kami sudah berkahwin. Cuma saya mohon pengertian orang di luar sana," katanya.
Tambah Alyah lagi, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa akan tiba masanya beliau akan mendedahkan status dirinya.
"Cuma tak sangka ia didedahkan dengan keadaan itu (insiden diserbu anggota JAIS)," katanya.
Bagaimana pula dengan majlis resepsi pasangan itu?
"Soal majlis itu kena tanya dia. Tapi saya dengar dia nak buat kenduri doa selamat masuk rumah baharu bulan ni atau awal bulan depan, bukan resepsi seperti yang dihebohkan sebelum ini," katanya.
Alyah kini masih menetap di rumahnya sekitar Damansara dan berulang alik ke rumah Ramli di Kinrara untuk membantu suaminya mengemas rumah.
Alyah mengakui beliau ditawarkan banyak penerbitan untuk menampilkannya sebagai penghias muka depan tetapi memilih untuk menolaknya secara baik.
Kini Alyah rancak mempromosikan jenama sendiri Gaya Alyah (instagram @gayaalyah) dengan mengikuti festival dan bazar di sana sini.
Di bawa Gaya Alyah terdapat tiga pecahan iaitu TurbanistaAlyah, HijabeeAlyah dan bakal melancarkan untuk busana bagi wanita bersaiz comel di bawah nama Fashhhplus.
Konsert Malaysia Tanahairku itu akan berlangsung pada 21 September ini jam 8.30 malam di DFP. Tempahan tiket boleh dilakukan dengan menghubungi 03-20517007,dfp_boxoffice@petronas.com.my atau www.mpo.com.my.
No comments:
Post a Comment