Friday, September 19, 2014

Minta maaf kenyataan ‘bikini’


Bangkok: Pemimpin tentera Thai semalam memohon maaf kerana kenyataannya yang mendakwa pelawat ke negara itu tidak selamat jika berbikini di pantai selepas sepasang pelancong warga Britain dibunuh, minggu ini.

Prayuth Chan-ocha semalam berkata, dia tidak bermaksud mengkritik sesiapa dan menegaskan negaranya selamat untuk pelancong.

“Saya minta maaf jika kenyataan itu tidak menyenangkan atau menyakiti sesiapa.

“Saya bukan berniat mengkritik atau menghina sesiapa, cuma sebagai peringatan supaya semua berhati-hati. Thailand memang selamat, namun orang jahat tetap ada sama seperti mana-mana negara lain,” katanya dalam satu sidang media.


Dia sebelum ini dilaporkan berkata: “Mereka (pelancong) menganggap negara kita indah dan selamat jadi mereka berbuat sesuka hati malah berjalan ke mana saja dengan hanya memakai bikini.”


Mayat David Miller, 24, dan Hannah Witheridge, 23, ditemui di pulau Koh Tao Isnin lalu dalam kejadian yang dilihat memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan negara itu yang masih dalam proses pemulihan sejak tentera mengambil alih pemerintahan pada Mei lalu.

Sehingga semalam, polis masih menyiasat pembunuhan itu berikutan bedah siasat terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang DNA untuk mengaitkan 12 orang yang disoal berhubung kejadian itu.

Antara yang disoal termasuk dua rakan Miller juga warga Britain selain beberapa pekerja asing Myanmar.

Dua rakan Miller itu kini dibenarkan meninggalkan Thailand selepas ditahan untuk disoal siasat sebelum ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

No comments:

Post a Comment