HONG KONG 29 Sept. - Beribu-ribu penduduk yang bersenjatakan penyembur serangga mengadakan tunjuk perasaan hari ini bagi menuntut demokrasi penuh, sehingga melumpuhkan pusat bandar raya Hong Kong, dalam gerakan yang dipanggil 'revolusi payung'.
Tunjuk perasaan itu yang bermula semalam, bertukar ganas malam tadi selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan gas penyembur lada bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan, kebanyakannya adalah pelajar universiti dan sekolah menengah yang tidak menghadiri sekolah sejak minggu lepas bagi memberi tekanan terhadap Beijing, tidak bersedia menghadapi situasi tersebut.
Menjelang pagi ini, penunjuk perasaan masih dilihat berkumpul di pusat bandar raya Hong Kong dengan masing-masing memegang sekaki payung, namun keadaan lebih tenang berbanding semalam.
Di daerah Causeway Bay, lebih seribu penunjuk perasaan melaungkan lagu-lagu rock kumpulan Beyond yang popular pada 1980-an.
Lagu bertajuk Boundless Oceans, Vast Skies sebelum ini dinyanyikan dalam beberapa demonstrasi bantahan dengan lirik berbunyi 'Masih bebas dan merdeka selamanya menyanyikan laguku'.
Seorang pekerja bank, Maple Leung, 27, mendakwa polis melakukan keganasan dengan menyerang orang ramai yang tidak membawa senjata.
Situasi berkenaan dilihat seperti pergerakan Occupy Wall Street pada 2011 di mana penunjuk perasaan berkhemah dengan menyediakan kelengkapan dan kemudahan termasuk wayar mengecaj telefon, khemah makanan dan perpustakaan. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_03/Bandar-raya-Hong-Kong-lumpuh#ixzz3Ek3BfCK0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment