Tuesday, September 30, 2014

Resipi kuasai bahasa


Putrajaya: Setiap pelajar sekolah perlu menghabiskan sekurang-kurangnya tiga buku cerita bahasa Inggeris dalam tempoh setahun bagi membolehkan mereka menguasai bahasa itu.
Itu nasihat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, semalam.
Dr Mahathir yang juga Ikon Membaca Kebangsaan berkata, nasihat itu diberikan berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di sekolah Inggeris ketika zaman persekolahannya dulu.
Menurutnya, selain membaca buku cerita, beliau juga gemar membaca cerita yang dimuatkan dalam majalah berbahasa Inggeris yang disediakan sekolahnya.
“Kita kena membaca buku berkali-kali supaya kita tahu bagaimana ayat itu ditulis.
Jika ia diamalkan, saya yakin setiap pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
“Saya bukan lahir dalam keluarga ‘mat salleh.’ Bahasa ibunda saya adalah bahasa Melayu.

Justeru, itu saja usaha yang boleh dilakukan bagi menguasai bahasa Inggeris,” katanya.
Katanya, bahasa Inggeris perlu dikuasai kerana ilmu pengetahuan yang wujud pada zaman ini kebanyakannya diterbitkan dalam bahasa berkenaan.
Dr Mahathir berkata, sekitar 1,400 tahun lalu, sumber ilmu pada waktu hadir dalam pelbagai bahasa termasuk greek, hindi dan China.
Menurutnya, orang Islam pada masa itu juga menguasai bahasa berkenaan terlebih dahulu sebelum menguasai ilmu mereka.
Beliau berkata, selepas sesuatu ilmu itu diperoleh, masyarakat Islam pada waktu itu menterjemahkannya ke bahasa Arab selain meneroka dan menulisnya kembali dalam bahasa Arab.
“Pengalaman menguasai dan meneroka ilmu berkenaan kemudian diterjemah bagi membangunkan sebuah tamadun Islam hebat sehingga ia menarik perhatian masyarakat Eropah.
“Malah, masyarakat Eropah pada masa itu pula mempelajari bahasa Arab bagi menguasai ilmu dibawa tamadun Islam kerana pada waktu itu bahasa Arab dikenali sebagai bahasa ilmu,” katanya.
Katanya, masyarakat Eropah membuat penerokaan mengenai ilmu dipelajari mereka daripada tamadun Islam sebelum menterjemahkannya dalam bahasa mereka sendiri.
Sebelum itu, 160 pelajar dari empat sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Banting; Sekolah Alam Shah; Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak berpeluang mendengar ceramah bertajuk ‘Ilmu Membina Negara Bangsa’ oleh Dr Mahathir di Auditorium YKP, di sini, semalam.
Foto
DR Mahathir bertemu peserta forum selepas menghadiri Program Literasi Maklumat Yayasan Kepimpinan Perdana - Perpustakaan Negara Malaysia.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment