Tuesday, September 30, 2014

Kes saman Syed Husin terhadap UMMB, Zulkifli Noordin selesai


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kes saman RM10 juta difailkan oleh veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) dan bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin atas dakwaan memfitnah beliau, berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Penyelesaian tersebut direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera setelah Zulkifli bersetuju, kenyataan bertajuk Anjing-anjing pencen yang disiarkan dalam blog beliau bertarikh 19 November 2011 ditarik balik sepenuhnya.
Zulkifli juga bersetuju memohon maaf atas penggunaan perkataan tersebut selain membayar kos yang tidak didedahkan jumlahnya kepada bekas timbalan presiden PKR itu yang diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya.
Syed Husin memfailkan saman tersebut pada 27 Januari 2012 dengan mendakwa, UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua menyiarkan satu artikel bertajuk Zul Noordin nafi dakwaan Syed Husin di akhbar Utusan Malaysia pada 20 November 2011 yang didakwanya mengandungi perkataan berbaur fitnah.
Empat perenggan yang dikatakan berbaur fitnah itu didakwa diterbitkan semula oleh Zulkifli di laman blog beliau.
Bagi Syed Husin selaku plaintif, penyiaran pernyataan berbaur fitnah itu membawa maksud, beliau merupakan seorang yang mengamalkan rasuah dan tidak layak menjadi seorang ahli politik serta senator.
UMMB yang diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin juga bersetuju menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan di dalam artikel tersebut yang disiarkan dalam akhbar itu .
Turut direkodkan oleh Vazeer Alam, kesediaan Zulkifli menarik balik saman balasnya yang difailkan terhadap Syed Husin pada 27 Ogos 2012 kerana mendakwa ahli politik itu memfitnahnya dalam sebuah buku bertajuk, Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali.
Zulkifli yang diwakili peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli menarik balik tuntutan tersebut tanpa kos.
Dalam saman balas itu, Zulkifli mendakwa Syed Husin secara palsu dan dengan niat jahat menerbitkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam bab tujuh buku itu, yang bertajuk, Keadilan Menghadapi Cabaran di bawah sub artikel, PR Kecil Permatang Pauh.
Zulkifli menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada Syed Husin selain perintah injunksi untuk menghalang ahli politik veteran itu daripada menerbitkan perkataan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140930/ma_03/Kes-saman-Syed-Husin-terhadap-UMMB-Zulkifli-Noordin-selesai#ixzz3Ek4O30qF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment