MUHAMAD MAT YAKIM
26 September 2014
CIKGU Segaran Nair cikgu saya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar semasa tingkatan enam. Dia yang kami biasa panggil Sir, mengajar subjek Pengajian Am. Walaupun sudah lebih 20 tahun tinggalkan sekolah, kami masih berhubungan baik. Kebetulan isteri saya ketika itu ketua pengawas asrama puteri yang Sir adalah ketua wardennya.
Kepada kami, dia menggunakan panggilan ‘anak-anak saya’. Dengannya, saya sendiri dan saya yakin begitu juga kawan-kawan, tidak pernah terasa batasan dalam hubungan. Dia sering menyebut saya son – panggilan yang cukup untuk membuat saya berasa begitu terharu dengan kemesraannya.
Ketika berkunjung ke rumahnya di Alor Setar baru-baru ini, saya terperasan Sir menyebut seorang lagi cikgu saya, Cikgu Om Ibrahim sebagai Kak Om ketika bercerita mengenai guru Bahasa Malaysia saya itu, yang bagi saya cukup untuk menggambarkan kemesraan hubungan yang sama sekali tidak dibatasi dengan perbezaan kaum dan agama.
Namun baru-baru ini, saya terima khabar yang menyedihkan daripada Sir. Kata Sir, dia berasa cukup terkilan apabila terdengar ada orang menyebutnya sebagai pendatang – atas dasar perkauman – ketika hadir di satu tempat.
“Apakah saya yang lahir di Kupang, Baling, Kedah... bapa saya lahir di Kuala Ketil, Kedah, dan datuk saya lahir di Perak, pendatang di negara ini? Negara mana lagi yang kami ada kalau bukan Malaysia?” tanya Sir ketika berkongsi rasa sedih dan terkilannya itu dengan saya, baru-baru ini.
Bukan Sir sahaja, saya sendiri berasa sedih mendengar cerita itu. Sebenarnya bukan itu sahaja. Sir jadi warganegara bukan semata-mata kerana dilahirkan di Malaysia. Sumbangannya kepada negara malah jauh melebihi kebanyakan kita.
Dia bukan sahaja berjasa dalam kelas Pengajian Amnya, mengajar anak bangsa mengenai aspek-aspek kenegaraan untuk menjadikan kami lebih mengenal tanah air kita sendiri.
Jasanya tidak terkira di balapan olahraga. Ramai orang sekadar kenal nama Romzi Bakar, Roslan Bakar, Rozaki Zakaria sebagai bintang olahraga yang pernah mengharumkan nama negara dalam acara lari 400 meter di peringkat Asia.
Mereka pernah menyumbang pingat untuk negara dalam pelbagai kejohanan. Siapa yang menggilap bakat mereka sejak di bangku sekolah kalau bukan Sir?. Romzi dan Rozaki (sekarang orang penting di MSN), junior saya di KSAH manakala Roslan (sekarang Mejar TUDM) senior saya.
Sir aktif melahirkan bakat olahraga negara sejak 1985 hingga 2003. Sampai sekarang dia masih jadi pensyarah International Association of Athletics Federation (IAAF). Nama yang saya sebut itu sekadar tiga daripada ramai anak didiknya sepanjang dia jadi ketua jurulatih olahraga remaja kebangsaan. Dalam usia persaraan, dia juga mengajar di UUM dalam bidang yang sama.
“Ini semua kerana cinta saya kepada olahraga dan negara,” katanya. Tidak cukup lagi. Orang selalu mengaitkan semangat cinta negara dengan pengorbanan sebagai anggota tentera. Sir semasa sudah jadi guru, berkorban waktu hujung minggunya yang selalu padat itu untuk menyertai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD).
“Lima tahun saya dalam PSTD sampai sandang pangkat Leftenan. Walaupun sudah jadi cikgu, saya mahu rasa kehidupan anggota tentera walaupun tidak sepenuhnya. Saya mahu hayati pengorbanan mereka jaga keamanan tanah air kita,” katanya.
Cikgu Segaran hanya satu contoh. Di sekeliling kita, ada banyak lagi jiwa Malaysia sejati yang bukan hanya dilitupi kulit sawo matang. Mereka bukan sekadar melalui kebetulan, dilahirkan di negara ini dan mendapat taraf bumiputera daripada darah keturunan.
Mereka sebaliknya telah berusaha dan bekerja keras untuk menyumbang walaupun ada yang masih tidak matang, anggap mereka yang bukan Melayu itu selama-lamanya berstatus pendatang.
Tidak syak lagi prasangka dan prejudis yang seperti ini hanya menjarakkan jurang dalam hubungan, melebarkan lagi kecurigaan sekali gus memarakkan kebencian yang hanya merugikan diri kita sendiri. Mengapa tidak kita saling memberikan ruang untuk masing-masing menyumbang kepada satu-satunya tanah air yang kita ada ini.
Mengapa dibiarkan hati yang busuk itu menguasai pemikiran kita yang seharusnya sudah cukup rasional untuk menilai setiap perkara yang ada di sekeliling? Apakah kita masing-masing boleh memilih apa kaum kita mahu dilahirkan, dan di mana kita dilahirkan? Bukankah mempertikaikan sesuatu ketentuan tuhan itu juga satu bentuk kezaliman?
Ya, sehebat-hebat kita, ada bodohnya apabila kita sewenang-wenang mempertikaikan keturunan orang lain. Ini yang menjadikan kita hilang rasional walau setinggi mana kelulusan dan pencapaian.
Apakah orang ini berani juga untuk melabel Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Datuk Nicol David sebagai pendatang?
Apa sumbangan mereka kepada negara berbanding dua warga yang cukup banyak jasa ini? Seharusnya mereka berasa malu sendiri sebelum berani mempertikaikan orang lain.
No comments:
Post a Comment