Friday, September 26, 2014

Indonesia mahu daftar pencak silat di UNESCO


JAKARTA 25 Sept. - Kerajaan Indonesia berhasrat untuk mendaftarkan pencak silat di Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan mereka.
Laman web Jakarta Post melaporkan, Menteri Belia dan Sukannya, Roy Suryo berkata, pendaftaran berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat kerana terdapat usaha dari negara jiran yang secara serius mahu menjadikan pencak silat sebagai kebudayaan mereka.
"Jika negara lain berjaya mendapatkan pengiktirafan ini, warisan kebudayaan kita akan hilang," jelasnya dalam satu sidang akhbar.
Katanya lagi, pencak silat merupakan hak milik Indonesia kerana ilmu mempertahankan diri itu sudah wujud di Minangkabau sejak tahun 1926.
Tambah Roy, beliau sudah mengadakan perbincangan berkenaan perkara tersebut dengan Menteri Pelajaran dan Kebudayaan Indonesia, Mohammad Nuh dan bersetuju pendaftaran akan dibuat oleh kementeriannya.
"Pencak silat akan dijadikan sebagai satu sukan baharu di beberapa kejohanan sukan yang akan berlangsung di negara ini. Ini merupakan antara usaha bagi menunjukkan bahawa ilmu mempertahankan diri itu milik Indonesia," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama negara berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140926/lu_05/Indonesia-mahu-daftar-pencak-silat-di-UNESCO#ixzz3ENDYCGqA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment