Friday, September 26, 2014

Royalti minyak: Mana pendirian Kerajaan Terengganu


USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .
SAYA ingin menarik perhatian seluruh rakyat Terengganu berkenaan isu yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian semalam berkaitan dakwaan bahawa ketiga-tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mengeluarkan minyak.

Berdasarkan laporan itu, maka Petronas berhak untuk memberikan wang ehsan kepada negeri-negeri yang mereka suka tanpa negeri-negeri tersebut boleh berbuat apa-apa. Kita sedia maklum bahawa isu ini tidak lain hanyalah sebagai isu yang sangat hina yang digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubur setelah Umno-BN tidak terdaya lagi menjawab isu royalti bagi negeri Kelantan selepas berjaya merampas royalti negeri Terengganu dengan cara yang sangat keji diusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno dan sehingga sekarang pimpinan Umno negeri menjadi seperti lembu dicucuk hidung.

Tidak pernah saya yang menjadi ahli dewan undangan negeri serta rakan-rakan Adun yang lain pada bila-bila masa mendapat peluang membahaskan isu ini walaupun berkali-kali PAS Terengganu mengusulkan bagi isu ini dibincangkan demi kepentingan rakyat.

Tetapi sayang, semalam dengan kaedah “hit and run” iaitu pukul dan lari, mereka dengan sewenang-wenangnya mendakwa di luar dewan undangan negeri atau dewan rakyat dan negara bahawa Terengganu tidak mengeluarkan minyak sekaligus seperti ingin menafikan secara langsung, tanpa perbahasan di dewan, tanpa perbicaraan di mahkamah bahawa negeri-negeri ini tidak layak menerima royalti.

Suka saya mengingatkan bahawa dua daripada tiga orang yang merangka perjanjian petroleum diantara negeri-negeri di Malaysia dahulu, masih hidup dan telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa negeri-negeri tersebut layak mendapat royalti sebanyak lima peratus setiap tahun. Seorang daripada mereka ialah bekas wakil rakyat PAS iaitu Tun Salleh Abas yang juga bekas Ketua Hakim Negara dan seorang lagi ialah ahli Parlimen Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ironinya, kedua-duanya walaupun dari parti yang berlawanan, telah memberikan jawapan yang sama iaitu setiap negeri-negeri itu layak menerima royalti dan lebih menghairankan lagi, kedua-duanya tidak dijemput menjadi ahli kepada jawatankuasa itu walaupun sebenarnya merekalah yang terlayak.

Apalah ertinya jika kita yang tidak layak ini menandatangani perjanjian itu? Lakukah tandatangan kita apabila membuat perjanjian sedangkan kita tidak layak? Apakah maknanya jika kita yang tidak layak ini, menerima bajet tahunan dan memasukkan royalti petroleum (dahulu) atau dana khas (sekarang) dalam bajet kerajaan negeri yang menjangkau sehingga 2.5 billion pada tahun ini selepas diambil kira bajet tambahan?

Apakah sah bajet-bajet terdahulu semenjak tahun 70-an itu? Apakah ertinya Datuk Seri Ahmad Said tersenyum lebar mengangkat cek replika wang ketika menerima bahagian kedua dana khas yang diserahkan oleh Perdana Menteri di Stadium Negeri sedikit masa dahulu? Apakah tujuannya apabila Perdana Menteri mengisytiharkan telaga Bertam yang berada ratusan kilometer dari pantai itu adalah hak milik Pahang ketika ianya menjadi perebutan diantara Terengganu dan Pahang dahulu? Ini semua adalah soalan-soalan mudah yang perlu dijawab oleh mereka yang menyokong dakwaan karut ini.

Maka saya di sini sebagai mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan juga rakyat Terengganu secara keseluruhannya mendesak kerajaan Umno Terengganu dibawah pimpinannya yang baru agar menyatakan pendirian mereka terhadap laporan ini.

Jika kerajaan menyokong sila keluarkan kenyataan rasmi dan begitu juga sebaliknya. Kita tidak mahu maruah rakyat dan negeri ini diperkotak-katikkan oleh golongan luar yang berkepentingan. Hak royalti ini, adalah hak mutlak rakyat Terengganu. Berhentilah menjadi pak turut, rakyat sedang membandingkan ketegasan Datuk Seri Ahmad Said yang konsisten sejak dahulu memperjuangkan hak royalti Terengganu dengan kelembutan kerajaan sekarang yang menjadi boneka kepada pihak-pihak yang tertentu.

Ikutlah jejak langkah kerajaan Sarawak yang sebulat suara telah meluluskan usul bagi meminta royalti bagi negeri mereka sebanyak 20%. Sebaliknya Terengganu yang mendapat lima peratus suatu ketika dahulu, ditukar kepada wang ehsan dan sekarang ini mahu dibuang dari senarai negeri pengeluar minyak. Adakah kerajaan Terengganu sebacul itu untuk membiarkan perkara ini berlaku? Juga kami mendesak agar jawatankuasa itu juga mengisytiharkan berapakah kawasan telaga minyak dan gas di Sabah dan Sarawak yang berada di luar tiga batu nautika jikalau mereka berani. - HARAKAHDAILY 26/9/2014

YB Mohd Nor Hamzah ialah Adun Bukit Payong, Terengganu

No comments:

Post a Comment