Sunday, September 7, 2014

Firma AS perkenal cincin pintar


NEW YORK 6 Sept. - Sekiranya anda menganggap dengan memakai jam tangan pintar anda merupakan individu yang paling bergaya dengan gajet terkini, anda mungkin silap.
Hal ini kerana, sebuah syarikat berpangkalan di California tampil dengan teknologi terbaharu yang mungkin menjadi trend semasa iaitu cincin pintar yang boleh bergetar dan memberitahu anda tentang panggilan telefon, pemberitahuan maklum balas pada Twitter dan Facebook anda.
Gajet keluaran syarikat Mota itu yang diberi nama `SmartRing' akan membantu pengguna untuk mengasingkan mesej daripada tempat kerja, rakan-rakan dan juga keluarga tanpa perlu menggunakan jari anda.
Apabila dihubungkan dengan sistem operasi Android atau iPhone, pengguna SmartRing boleh menerima pemberitahuan panggilan masuk, khidmat pesanan ringkas, kalendar dan juga email.
Cincin yang dijangka diperkenalkan pada pameran teknologi IFA yang berlangsung di Berlin pada minggu ini juga mampu memaparkan pemberitahuan dalam bentuk teks yang membolehkan pengguna membaca paparan tersebut.
"Pemberitahuan kemasukan panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas dan aplikasi pemberitahuan menjadi fungsi terpenting sesebuah telefon bimbit.
"Namun, ia juga menjadi penghalang utama bagi pengguna telefon, jenis-jenis dan sumber pemberitahuan yang sedang merebak dengan pantas,'' kata Pengasas Bersama Mota, Kevin Faro sebagaimana lapor Mail Online.
Buat masa ini, SmartRing hanya mempunyai akses kepada Facebook dan Twitter, dan sekiranya mendapat sokongan mencukupi, syarikat itu akan menambah aplikasi lain seperti Instagram, Uber dan LinkedIn.
SmartRing merupakan cincin kalis air dan mempunyai paparan yang boleh dilihat pada waktu siang dan boleh didapati dalam warna hitam atau putih.
Bagaimanapun, harga jam pintar itu masih belum lagi ditetapkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140907/lu_05/Firma-AS-perkenal-cincin-pintar#ixzz3CZaeKo00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment