Sunday, September 7, 2014

Gencatan senjata di Ukraine bertahan


SEBUAH kereta kebal milik tentera Ukraine rentung di luar kampung Mnogopolye, dekat Donetsk kelmarin.


KIEV - Gencatan senjata di wilayah pemberontak di timur Ukraine masih utuh di sebalik beberapa pencabulan, kata ketua Pengawal Kebangsaan Ukraine semalam.
Agensi berita Interfax melaporkan, Komander Pengawal Kebangsaan, Stepan Poltorak mendakwa bahawa beberapa insiden tembakan berlaku selama 45 minit selepas gencatan senjata namun setakat pagi semalam tiada sebarang pencabulan berlaku di kedua-dua belah pihak bertelagah.
Di Donetsk yang merupakan bandar terbesar dikuasai pemberontak pro-Rusia, waktu malam semalam berlalu dengan aman selepas beberapa bulan lalu lokasi itu dibedil hampir setiap hari oleh tentera Ukraine.
Ukraine, Rusia dan puak pemisah pro-Rusia menandatangani gencatan senjata itu di ibu kota Belarus, Minsk kelmarin.
Semua pihak turut bersetuju untuk mengundurkan semua senjata berat, membebaskan semua tawanan dan membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke beberapa bandar raya yang terjejas akibat perang di timur Ukraine.
Jika gencatan senjata itu kekal, ia bakal menjadi pencapaian terbesar antara kedua-dua belah pihak.

ORANG RAMAI membeli roti di sebuah pasar di bandar pelabuhan Mariupol, timur Ukraine selepas gencatan senjata yang berkuat kuasa semalam.


Pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine yang berlarutan sejak lima bulan lalu itu teruk menjejaskan ekonomi negara.
Perang saudara itu turut meragut sekurang-kurangnya 2,600 nyawa orang awam dan menyebabkan ratusan ribu lagi hilang kediaman.
Dalam pada itu, para pemimpin Barat sangsi berhubung komitmen Rusia untuk mengekalkan gencatan senjata.
Satu gencatan senjata selama 10 hari pada Jun lalu gagal apabila Kiev dan puak pemisah saling menuding jari sebagai mencabul usaha damai itu.
Mengulas perkembangan positif itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, beliau berharap gencatan senjata tersebut akan dapat bertahan.
Obama bagaiamanapun tidak pasti sama ada kumpulan pemberontak pro-Rusia akan terus mematuhinya atau Rusia akan berhenti daripada terus mencabuli kedaulatan atau integriti wilayah Ukraine.
"Gencatan senjata ini belum teruji lagi," kata Obama pada majlis penutupan sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Wales kelmarin.
Pada masa yang sama, AS dan Kesatuan Eropah menyiapkan sekatan lebih ketat ke atas Rusia manakala Obama memberitahu, cara paling efektif dalam memastikan gencatan senjata itu dapat bertahan adalah dengan mengekalkan tekanan ke atas Moscow.
- AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3CZbPK5Q4 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment