SHAH ALAM - Krisis pencalonan nama Menteri Besar Selangor yang baharu tergetus apabila, Majlis Syura Ulama tidak setuju dengan calon, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas alasan bercanggah dengan hukum Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, keengganan Pas menuruti kehendak rakan PR, PKR dan DAP mencalonkan Wan Azizah disebabkan Presiden PKR itu tidak layak memikul tugas sebagai menteri besar.

Abdul Hadi turut menegaskan penolakan Pas terhadap Wan Azizah bukan disebabkan faktor gender tetapi kredibiliti yang ada pada beliau.
 
“Hadis riwayat Bukhari ada menyatakan, ‘tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus mereka.’ Hadis ini telah dibahas oleh beberapa ulama.
 
“Di dalam perbahasan itu, ada ulama yang mengatakan wanita boleh dilantik menjadi ahli majlis mesyuarat, itu tidak mengapa kerana Ummu Salamah, Saidatina Aisyah R.A dan beberapa wanita lain ada tampil memberi pandangan,” katanya ketika berucap pada majlis dialog di Rusila, Terengganu, kelmarin.
 
Jelas Abdul Hadi lagi, dalam perbahasan sama, wanita boleh dilantik menjadi menteri, iaitu yang sesuai dengan mereka, contohnya menteri pendidikan, kewangan atau apa sahaja yang berurusan di pejabat.
 
“Wanita ada kemahiran seperti menjahit, memasak, mentadbir kewangan, tetapi tugas seperti nelayan tidak sesuai dengan kejadian semula jadi mereka. Wanita ada kesabarannya.
 
“Dalam masalah kepimpinan negara, iktifak (kesepakatan) ulama mengatakan untuk menjadi Raja, Presiden atau Ketua Kerajaan tidak boleh diberikan kepada wanita,” katanya.
 
Beliau turut menyentuh fatwa ulama Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengatakan golongan wanita tidak boleh menjadi ketua, tetapi ia dibolehkan jika secara kolektif (berkumpulan).
 
“Dalam fatwa itu tidak menghalang wanita menjadi ketua kerajaan jika tidak perintah sendirian dan ada ahli mesyuarat yang mengendalikan urusan.
 
“Dr Yusuf Al-Qaradawi turut membandingkan dengan Ratu Balqis, raja kerajaan Yaman. Dalam al-Quran, Ratu Balqis ini adalah kafir. Ratu Balqis menghadap Nabi Sulaiman as dan memeluk Islam dan turun memerintah bersama-sama Nabi Sulaiman as, tetapi riwayat yang disebut ini adalah riwayat yang sangat lemah,” katanya. 
 
Jelasnya, mengapa Pas menolak calon di Selangor bukanlah atas sebab Wan Azizah seorang wanita tetapi sejak awal menyedari Wan Azizah memang tidak layak.
 
“Kita lihat beliau tidak mampu kendalikan pemerintahan negeri Selangor, ini memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor. Bukan sebab dia perempuan,” katanya.
 
Beliau juga berkata, Wan Azizah belum cukup bersedia untuk memimpin kerana dilihat baru belajar mengenai dunia politik.

“Dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; ‘barang siapa yang mewakilkan urusan orang Islam, melantik seseorang memegang jawatan bukan kerana kelayakannya, tetapi kerana kecenderungannya, kerana sebab puak-puaknya, bukan kerana kebolehannya, maka Tuhan tidak menerima tebusan duit sehingga boleh diseret ke dalam api neraka.’   

“Adakah kerana ini, ahli Pas sanggup untuk masuk neraka? Kita parti Islam, tak boleh terima. Jadi kerana penolakan inilah berlakunya pergolakan sehingga ke hari ini. Pas sentiasa dan akan terus berpegang bahawa PR berpijak atas asas yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya lagi.