Sunday, September 7, 2014

RM130j tebus dosa 25 tahun


New York: Hakim mahkamah persekutuan semalam meluluskan bayaran ganti rugi bernilai AS$41 juta (RM130 juta) terhadap lima lelaki yang disabit secara salah atas jenayah yang tidak mereka lakukan.

Penyelesaian itu menamatkan tuntutan sivil ke atas kes dikenali sebagai Penjoging Central Park selama beberapa dekad.



Semua remaja lelaki kulit hitam dan Hispanik dari Harlem itu disabit tuduhan hampir membunuh pekerja bank pelaburan berusia 28 tahun, Trisha Meili pada musim panas 1989.

Datuk Bandar, Bill de Blasio menyokong keputusan penyelesaian dibuat mahkamah kerana ia membolehkan setiap seorang daripada mereka sekurang-kurang AS$1 juta (RM3 juta) bagi setiap tempoh mereka dipenjara.

“Ia adalah keadilan terhadap lima tertuduh selepas sekian lama tertangguh,” katanya.


Dengan kebenaran mahkamah semalam, kata de Blasio, kes berkenaan bolah ditutup terus dan tertuduh dapat meneruskan kehidupan biasa.

Datuk Bandar New York sebelum ini Michael Bloomberg pernah cuba mendapatkan penyelesaian bagi lima individu terbabit namun gagal.


Namun di sebalik keputusan melegakan tertuduh itu, pentadbiran New York enggan mengakui sebarang salah laku.

Peguam kanan Zachary Carter berkata, penyiasat dan pegawai pendakwa yang menyabitkan kesalahan lima individu terbabit bertindak sewajarnya dalam kes berkenaan.

Trisha berjoging di Central Park apabila dia diserang di kawasan gelap sebelum diheret ke kawasan terpencil untuk dibelasah, diserang secara seksual dan dibiarkan supaya mati.

Wanita terbabit sedar perlahan-lahan namun gagal mengingati insiden berkenaan, manakala polis dan pendakwa mendapat tekanan daripada media serta penduduk setempat supaya menangkap suspek.

Dalam tempoh beberapa jam penyiasat menangkap lima remaja dan menyoal siasat mereka untuk tempoh lama dan tanpa peguam.

Walaupun tiada padanan DNA semua lima remaja terbabit disabitkan kesalahan dan dihukum penjara antara enam dan 13 tahun sebelum seorang perogol mengaku menyerang Trisha.- AFP

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/07

No comments:

Post a Comment