Ikmal Hisham melawat rumah buluh yang didiami Mohd Asri dan isteri di Kampung Ternang Dalam, Tanah Merah. |
Kediaman yang serba kekurangan dan hanya layak dipanggil bangsal itu didiami Mohd Asri dan isteri, Soba Ismail, 32, sejak tiga bulan lalu, selepas berpindah dari rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa.
Kesabaran pasangan itu terus teruji apabila rumah berdindingkan buluh dan berlantaikan batang pinang itu nyaris terbakar dalam kejadian tiub balang gas memasak bocor, Selasa lalu.
Mohd Asri berkata, dengan pendapatan tidak seberapa hasil daripada menoreh getah milik orang lain, dia tidak mampu menyediakan rumah yang lebih selesa sebagai tempat berteduh.
“Selepas empat hari saya dan isteri menoreh, kami hanya mampu memperoleh pendapatan RM50 selepas dibahagi dengan tuan kebun, jadi memang tak mampu nak bina rumah dengan belanja sendiri.
“Walaupun serba daif, kami bersyukur kerana ayah saya beri kebenaran bina bangsal ini di atas tanah miliknya untuk kami berteduh,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.
Menceritakan detik cemas rumahnya nyaris terbakar, Mohd Asri berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika dia dan isteri sedang berehat selepas pulang daripada menoreh.
“Masa kami sedang berehat, ada orang datang hantar gas dan dia minta saya terus pasang. Bila saya buka api dapur, api terus menyambar tiub gas yang bocor dan merebak ke dinding buluh,” katanya.
Tambahnya, walaupun sempat melempar balang gas yang terbakar ke luar rumah, sebahagian kecil dinding dan tangga kayu rumahnya sempat disambar api, manakala dapur memasak hangus.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz yang melawat rumah berkenaan terkejut dan bersimpati kerana masih ada rakyatnya yang hanya mampu hidup di rumah buluh.
“Saya sudah berbincang dengan Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha dan kami bersetuju menyalurkan peruntukan bagi membolehkan sebuah rumah baharu dibina secara gotong-royong,” katanya.
Menurut Ikmal Hisham, tindakan segera itu selaras dengan usaha berterusan beliau dan Mohd Bakri untuk menyediakan kehidupan lebih baik kepada rakyat di parlimen ini.
No comments:
Post a Comment