Wakil WHO di Nigeria, Rui Gama Vaz berkata, hanya lapan orang maut di Nigeria akibat Ebola, negara Afrika yang mempunyai paling ramai penduduk, dan kejayaan itu menunjukkan wabak Ebola boleh dikekang.
Gama Vaz berkata, pengisytiharan tersebut dibuat selepas tiada kes baharu dikesan dalam kalangan 170 juta penduduk Nigeria dalam tempoh 42 hari berturut-turut.
“Virus maut itu tiada lagi dikesan di negara ini dan penularan penyakit berkenaan berjaya dita­ngani,” katanya.
Nigeria menjadi negara Afrika kedua diisytiharkan bebas daripada wabak Ebola selepas Senegal.
Sementara itu, tiga lagi negara Afrika yang bergelut untuk mengekang wabak tersebut, Guinea, ­Sierra Leone dan Liberia dihimpit masalah ekonomi ekoran krisis penyakit maut itu.
Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf memberi amaran malapetaka yang melanda negaranya tidak akan dapat diatasi tanpa komitmen antarabangsa untuk menghulurkan bantuan.
“Perjuangan menentang Ebola memerlukan sokongan pihak antarabangsa, tidak kira sama ada menghulurkan dana kecemasan, bekalan perubatan atau pakar perubatan,” katanya. - AFP