Wednesday, October 22, 2014

Khairy sahkan atlet terkemuka negara gagal ujian dadah


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini tampil mengesahkan seorang atlet 'terkemuka' negara gagal dalam ujian doping oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) namun enggan mendedahkan sebarang nama.
Mengakui ia membabitkan atlet yang berprofil tinggi, Khairy yang ditemui menyifatkan tindakannya untuk tidak mengumumkan nama atlet terbabit adalah disebabkan peraturan yang dikeluarkan badan induk persatuan sukan terbabit.
"Buat masa ini kita masih menunggu tarikh ujian untuk sampel B dan sebarang tindakan dan kenyataan lanjutan akan dibuat berpandukan kepada keputusan itu.
"Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh persatuan terbabit, mereka tidak akan mengeluarkan atau mengumumkan atlet yang terbabit sehingga ujian sampel B selesai. Jadi kita juga tidak akan umumkan.
"Ini bukannya disebabkan kami memberikan perlindungan kepada atlet terbabit namun hanya mematuhi laporan yang ditetapkan," katanya.
Laporan BH Sukan sebelum ini mendedahkan seorang atlet tersohor negara yang meraih pelbagai kejuaraan di pentas antarabangsa didapati gagal dalam ujian doping sampel A dan positif menggunakan bahan terlarang.
Insiden memalukan itu didakwa berlaku ketika atlet berkenaan beraksi dalam salah satu kejohanan utama tahun ini dan turut dilaporkan ia membabitkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Mengulas lebih lanjut mengenai isu terbabit, Khairy yang mengakui kecewa dengan berita itu dan sudah pun berjumpa dengan atlet terbabit selain meminta agensi berkaitan supaya membuat siasatan lanjut.
"Agensi AntiDoping Malaysia (ADAMAS) sudah terima surat pada 1 Oktober lepas bersama persatuan sukan terbabit dan atlet berkenaan juga dimaklumkan pada tarikh yang sama.
"Garis panduan oleh WADA ialah seandainya atlet itu gagal dalam ujian doping, mereka diberi peluang untuk menguji sampel kedua iaitu sampel B.
"Atlet berkenaan diberi tempoh sehingga 17 Oktober lepas untuk membuat permohonan ujian dan beliau sudah membuat permohonan pada 16 Oktober dan sedang menunggu maklum balas daripada persatuan itu mengenai bila sampel itu akan diuji.
"Selain itu, atlet terbabit mahu pergi sendiri pergi menyaksikan sampel itu dibuka. Kita diberi kebenaran dalam peraturan WADA untuk menghantar sama ada atlet atau wakil untuk menyaksikan botol sampel itu.
"Kita akan buat keputusan selepas keputusan B sampel itu. Saya akan maklumkan kepada media sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut menjelaskan segala kesalahan membabitkan doping adalah tanggungjawab atlet itu sendiri dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pesalah jika didapati bersalah.

No comments:

Post a Comment