Thursday, October 16, 2014

Siasat dahulu tinggal solat Jumaat tiga kali


ASLANI M | .
KOTA BHARU: Kelantan mengenakan denda kurang RM1,000 atau penjara kurang setahun atau kedua-dua sekali terhadap mereka yang disabitkan kesalahan meninggalkan solat Jumaat secara sengaja tiga kali berturut-turut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Nassuruddin Daud berkata, sehingga kini hanya satu kes sahaja yang dikenakan hukuman terhadap kesalahan tersebut.

Bagaimanapun katanya, siasatan dibuat terlebih dahulu terhadap lelaki dewasa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie.

“Setelah lelaki berkenaan dikenal pasti sama ada mendapat laporan daripada orang awam atau imam, orang berkenaan akan dikehendaki menandatangan borang khas kedatangan ketika datang solat Jumaat di masjid.

“Dan apabila didapati borang berkenaan tidak diisi bermakna lelaki berkenaan terbukti meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja.

“Pendakwaan akan dilakukan terhadap orang terbabit sebelum dijatuhi denda kurang daripada RM1,000 atau penjara kurang setahun atau kedua-dua sekali,” katanya ketika menjawab soalan Wan Ubaidah Omar (PAS-Kijang) pada persidangan Dun hari ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Adun sama, Nassuruddin berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) juga akan membuat pemantauan terhadap golongan belia yang datang ke masjid, namun tidak menunaikan solat Jumaat.

Katanya, bahagian penguatkuasa Jaheaik akan membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kita sedia menimbangkan cadangan Adun Kijang untuk melantik pemantau kalangan wanita bagi memastikan remaja yang datang ke masjid benar-benar menunaikan solat,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri menganjurkan program Bulan Sembahyang sejak berpuluh tahun lalu bagi mendidik generasi muda terhadap kewajiban menunaikan solat.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri akan membina Masjid Sultan Muhammad V di kawasan seluas 10.6 ekar di Bandar Baru Tunjung membabitkan kos kira-kira RM20 juta.

Katanya, masjid kesenian Melayu Kelantan itu menggantikan Masjid al Hussaini sebelum mahu ditaja seorang tokoh korporat, namun tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang.

“Masjid tersebut dengan keluasan 78,443 kaki persegi setinggi dua aras akan mengandungi bilik solat diraja, tadika, bilik musafir, tempat memandikan jenazah dijangka dapat menampung sehingga 10,000 jemaah.

“Pembinaannya akan dijalankan secara berfasa mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri. Masjid itu akan mempunyai 11 kakitangan termasuk dua imam,” tambahnya. - HARAKAHDAILY 15/10/2014

No comments:

Post a Comment