NEW YORK 15 Okt. - Dunia masih gagal untuk menghalang penularan wabak membawa maut Ebola, kata seorang pegawai tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran semalam bahawa beribu-ribu jangkitan baharu mungkin berlaku sebelum akhir tahun ini.
"Penularan Ebola masih mendahului, malah wabak itu lebih pantas berbanding kita dan sedang memenangi perlumbaan,'' kata Ketua Misi PBB untuk Pasukan Kecemasan Ebola (UNMEER), Anthony Banbury.
Banbury berkata demikian kepada Majlis Keselamatan PBB di New York menerusi satu persidangan video dari ibu pejabat UNMEER di Accra di Ghana.
"Sekiranya Ebola menang, kita akan kehilangan begitu banyak nyawa,'' katanya dengan jumlah kematian terbaharu akibat wabak itu mencecah 4,447 orang daripada 8,914 kes yang direkodkan.
Pegawai PBB itu membuat kenyataan tersebut ketika Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, jumlah jangkitan Ebola boleh mencecah 10,000 orang seminggu ketika pemimpin dunia membuat persiapan membincangkan krisis itu di PBB.
Kata Banbury, masyarakat dunia perlu menghentikan wabak itu sekarang atau akan berdepan dengan situasi sama yang pernah berlaku sebelum ini yang mana tiada rancangan dibuat untuk menanganinya.
Jelasnya, dengan kadar jangkitan yang semakin meningkat setiap hari, UNMEER memerlukan kira-kira 7,000 katil untuk tujuan rawatan.
"Banyak berita buruk tentang Ebola, namun berita baiknya adalah kita tahu untuk menghentikan penularannya.
"Bagaimanapun untuk menghalang penularan wabak itu, kita mesti mengalahkan Ebola dan melakukannya dengan pantas,'' katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah WHO, Bruce Aylward menjangkakan, wabak itu 'boleh mencapai antara 5,000 hingga 10,000 kes seminggu pada minggu pertama Disember ini. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141016/lu_09/Penularan-Ebola-lebih-pantas#ixzz3GGAqqDXf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment