Thursday, October 16, 2014

Kita tahu syarikat mana jadi Ali Baba - Ku Li


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa terdapat syarikat Melayu yang didalangi orang lain, bukan sahaja tidak dikenakan tindakan akan tetapi anehnya ia diberi keistimewaan pula oleh kerajaan.

Bekas menteri kewangan itu berkata, hal ini berlaku kerana terdapat pihak yang berkepentingan didalamnya sehingga undang-undang sedia ada tidak dilaksanakan dengan konsisten.

Ujar beliau, isu Ali Baba ini berkait rapat dengan kronisme yang menyebabkan ianya menjadi lebih sukar untuk dihapuskan.

"Apa pun tafsirannya, intipati atau pengertian sebenar (‘substance’) kronisme dan Ali Baba mempunyai banyak persamaan.

"Malahan, kewujudan kedua-kedua konsep ini hampir seperti pasangan yang saling melengkapi, dan pada hemat saya, kedua-duanya tidak baik, merosak dan merugikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Barah Ali Baba di bumi Malaysia' di Forum Anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, di International Institute of Islamic Thought & Civilisation pagi ini.

Menurut beliau, dalam menangani isu Ali Baba ini, kebijakan dan iltizam yang kuat diperlukan di peringkat atasan dan agensi pelaksana.

"Walaupun agak terlewat, mungkin kita perlu untuk menggubal undang-undang yang secara spesifik akan membolehkan pelaku yang menyumbang kepada gejala Ali Baba ini di ambil tindakan.

"Tetapi, seperti dasar-dasar lain sebelumnya, undang-undang tanpa pelaksanaan yang konsisten, tegas dan tanpa prejudis tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya.

OSA banyak dosa

Bercakap pada sidang media selepas itu, Tengku Razaleigh turut mencadangkan agar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dikaji semula bagi menangani masalah rasuah di negara ini.

Beliau menjelaskan, tidak wajar OSA digunakan untuk menghalang mana-mana pihak mendedahkan kesalahan rasuah yang dilakukan oleh sesuatu pihak.

"Saya minta supaya semak semula kerana OSA ada menyembunyikan ribuan dosa. Kalau benda itu melibatkan pembiayaan rasuah, saya rasa sesiapa boleh dedahkan.

"Kalau pendedahan tak betul, boleh dakwa. Janganlah segala-galanya mesti dirahsiakan," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Akta Prosedur Kewangan 1957 juga perlu dikaji semula kerana cenderung disalah guna memandangkan ianya memberikan kuasa mutlak kepada menteri kewangan. -HARAKAHDAILY 16/10/2015

No comments:

Post a Comment