HONG KONG 15 Okt. - Ketegangan antara pihak keselamatan Hong Kong dan penunjuk perasaan semakin memuncak apabila beratus-ratus anggota polis menggunakan penyembur lada untuk menyuraikan bantahan di beberapa jalan utama, awal hari ini.
Pertempuran antara kedua-dua pihak itu juga antara yang terburuk sejak lebih seminggu lalu apabila pihak keselamatan mahu merobohkan sekatan jalan yang mengganggu aliran trafik di jalan-jalan utama.
Selain itu, berdasarkan laporan stesen rangkaian berita tempatan TVB, anggota polis turut memukul dan menendang seorang penunjuk perasaan yang digari selama beberapa minit, menyebabkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen dan orang awam.
Setiausaha Keselamatan Hong Kong, Lai Tung-kwok dalam sidang medianya berkata, pihak polis akan menyiasat anggotanya yang menggunakan kekerasan dalam kejadian terbabit dan mereka yang terlibat akan digantung tugas buat sementara waktu.
Terdahulu, polis berkata, sebanyak 45 penunjuk perasaan ditahan dan menggunakan penyembur lada terhadap mereka yang melawan ketika membersihkan jalan utama yang dihalang oleh kumpulan prodemokrasi itu.
Sejumlah anggota polis memasuki sebuah terowong berdekatan di daerah Admiralty dan membersihkan dinding yang diperbuat daripada konkrit, sekali gus membuka sebahagian jalan kepada trafik.
Terowong di Jalan Lung Wo itu merupakan laluan penting yang menghubungkan pejabat kerajaan Hong Kong dan bangunan Parlimen,dan hanya dibuka kepada kenderaan di bahagian kiri oleh penunjuk perasaan.
Walaupun laluan telah dibuka, polis berkata, keadaan trafik masih sesak teruk, selain tiada tanda-tanda menunjukkan pusat utama penunjuk perasaan berkumpul di luar ibu pejabat kerajaan dan beratus-ratus khemah didirikan di laluan utama yang mempunyai lapan lorong, akan dibersihkan.
- REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141016/lu_03/Konflik-di-Hong-Kong-semakin-memuncak#ixzz3GG9WW5CD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment