Agensi
London
Seorang wanita, Annette Maunder, yang mati akibat kanser bulan lalu memilih 'majlis pengebumian' lain daripada yang lain apabila mahu abu mayatnya dijadikan bunga api dan diletupkan di udara.
Annete, 55, sempat membincangkan idea berkenaan bersama suaminya, Gary - bekas anggota tentera laut - dan dia kini berusaha memenuhi permintaan terakhir wanita itu.
Dia menghubungi syarikat bunga api, Heavenly Stars Fireworks, yang mengambil masa dua minggu untuk membuat 250 bunga api khas berkenaan.
Abunya dicampurkan dengan belerang dan dimasukkan dalam bunga api yang bakal menghasilkan letupan pelbagai bentuk termasuk bunga dan ekor naga.
Acara melepaskan abu Annette ke udara itu dijadualkan bulan depan di Devonport Park di Plymouth, Devon.
"Pasti Annette menyukainya. Memang inilah cara terbaik untuk mengucapkan selamat tinggal daripada kami semua.
"Berkahwin dengannya sepanjang 13 tahun lalu adalah tempoh paling bahagia dalam hidup saya. Malangnya dia akhirnya kalah kepada kanser.
"Annette begitu unik, tiada yang lain sepertinya," kata Maunder.
Pameran bunga api itu dianggarkan selama dua minit dengan disaksikan keluarga dan sahabat terdekat Annette di taman berkenaan.
Menurut Maunder secara kebetulan, acara itu juga diadakan serentak dengan ulang tahun ke-60 sahabat karibnya, Joan, yang banyak memberi sokongan kepada Annette sehingga dia menghembuskan nafas terakhir.
"Kami semua teruja dan tidak sabar menanti hari istimewa itu," katanya.
Jurucakap rumah pengebumian Cooperative Funeral Care Service Hayley Pell berkata, pihaknya menjual bunga api berkenaan bagi pihak Heavenly Stars.
"Kebanyakan budaya di seluruh dunia melihat majlis pengebumian sebagai detik yang merapatkan hubungan sesama masyarakat dengan meraikan kehidupan yang pernah dilalui orang yang mereka sayangi.
"Itulah pendekatan diambil Maunder dan kami berharap dapat memenuhi permintaannya serta Annette melalui acara ini.
"Ia cara yang begitu indah untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
"Acara itu akan dihadiri bukan saja Maunder malah juga sahabat serta keluarga terdekat mereka, selain pihak kami serta paderi yang akan membantu memastikan segalanya berjalan dengan sempurna," katanya.
Jurucakap Heavenly Stars Fireworks berkata, kaedah itu semakin popular untuk majlis pengebumian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:41 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2217#sthash.vKMzR78u.dpuf
No comments:
Post a Comment