Tindakan Paul Rosolie membenarkan dirinya ditelan ular anaconda hidup-hidup mendapat kritikan ramai pihak. –AGENSI
AMAZON 6 Nov. – Tindakan seorang peminat haiwan liar merakam adegan dia dimakan hidup-hidup oleh seekor anaconda, mendapat kritikan ramai pihak terutamanya kumpulan pencinta alam yang menyifatkan perbuatan itu sebagai penderaan terhadap haiwan itu.
Mail Online melaporkan, rakaman adegan berbahaya yang dilakukan oleh Paul Rosolie, 26, itu merupakan sebahagian daripada rancangan televisyen terbaharu Discovery Channel yang diberi nama Eaten Alive.
Rancangan yang akan disiarkan pada 7 Disember ini, bakal menyaksikan Rosolie yang akan menggunakan pakaian khas ditelan oleh seekor anaconda gergasi berukuran sembilan meter panjang.
Kumpulan pencinta alam menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu ‘penderaan tahap tertinggi’ dan menggesa pihak Discovery Channel supaya membatalkan tayangannya,
Kumpulan berkenaan turut mengeluarkan satu petisyen yang sudah ditandatangani lebih 500 orang bagi membantah tindakan tersebut.
Rosolie menolak dakwaan kumpulan itu dan beranggapan tindakannya merupakan salah satu proses untuk mengenali lebih mendalam tentang ular terbesar di dunia itu.
“Jika anda mengenali saya, saya tidak pernah mencederakan haiwan liar. Anda seharusnya menyaksikan rancangan ini terlebih dahulu, sebelum membuat kritikan,” jelas Rosolie, yang juga dikenali sebagai Indiana Jones Amazon dalam laman sosial Twitternya.
No comments:
Post a Comment