Friday, November 7, 2014

Tetap mahu jumpa Putin


Canberra : Perdana Menteri Tony Abbott semalam berkata dia tetap mahu menemui Presiden Russia Vladimir Putin secara peribadi untuk mendesak kerjasama sepenuhnya diberikan dalam siasatan membabitkan tragedi MH17 di Ukraine.

Dalam sidang media bersama, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mendedahkan bahawa pasukan penyiasat menemui sisa-sisa mayat di lokasi kejadian yang berlaku 17 Julai lalu.

Menurutnya, penemuan itu dibuat pasukan dari Belanda, Ukraine serta Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OECD) yang sampai dengan selamat ke tempat itu minggu lalu.

Tragedi itu menjadi topik utama dibincangkan dalam pertemuan antara Rutte, Abbott dan Kabinet Australia.

Menurut Abbott dia akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin secepat mungkin, sama ada pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing pada 9 dan 10 November, atau seminggu kemudian di Brisbane ketika Australia menjadi tuan rumah pertemuan G20.

Pihak berkuasa Russia sebelum ini mempersendakan amaran Abbott bulan lalu untuk memaksa Putin bersemuka sebaliknya menegaskan perjumpaan seumpama itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana tiada pertemuan dua hala dijadualkan antara dua pemimpin terbabit.

Sementara itu, Abbott berkata dia dan Rutte masing-masing mengharapkan kerjasama sepenuhnya Russia dalam siasatan yang diketuai Belanda itu.

“Kami tidak mahu siasatan itu dipersendakan dan tidak mahu sebarang gangguan atau sabotaj terhadapnya,” katanya.

Rutte berkata, dia turut memberi mesej sama kepada Putin ketika menemuinya pada Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM), di Milan, Itali bulan lalu.

“Saya menggunakan peluang itu untuk sekali lagi mengingatkannya supaya memberi tekanan terhadap golongan pemisah supaya membenarkan akses ke lokasi nahas tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:04 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7082#sthash.0uZrQpLO.dpuf

No comments:

Post a Comment