Friday, November 7, 2014

Putin paling berkuasa di dunia


Putin


NEW YORK – Presiden Rusia, Vladimir Putin sekali lagi mengekalkan kedudukan teratas individu paling berkuasa di dunia untuk dua tahun berturut-turut dengan meletakkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di tangga kedua berdasarkan kedudukan terkini yang dikeluarkan majalah Forbes, kelmarin.
“Kedudukan itu kekal selepas setahun Putin melancarkan perang proksi di Ukraine dan menandatangani perjanjian membina saluran paip gas bernilai AS$70 bilion (RM233 bilion) dengan China yang merupakan projek pembinaan terbesar di dunia,” lapor Forbes.
Majalah itu mengeluarkan senarai 72 individu paling berkuasa di dunia untuk tahun 2014 iaitu seorang bagi mewakili 100 juta manusia berdasarkan undian daripada panel editor Forbes. Antara kriteria yang diambil kira termasuk sumber kewangan, bidang tugas, penggunaan kuasa dan jumlah orang yang menerima kesan dengan setiap keputusan yang dibuat.
Obama sebelum ini sentiasa menduduki tangga teratas individu paling berkuasa di dunia sejak dilantik menjadi Presiden pada 2009 hingga 2012 kecuali pada tahun 2010 apabila kedudukan itu dipegang oleh Presiden China, Hu Jintao.
Laporan Forbes menyatakan bahawa, Obama gagal untuk menduduki tangga teratas berikutan halangan sejak penularan wabak Ebola di Afrika Barat serta ancaman kumpulan militan Negara Islam selain rusuhan perkauman di Ferguson, Missouri yang memberi kesan terhadap kedudukan beliau.
“Dia (Obama) mempunyai kuasa tetapi tidak ditunjukkan sepenuhnya,” lapor Forbes yang turut mendedahkan kedudukan ketiga yang diduduki oleh Presiden China, Xi Jinping, Pope Francis (4) dan Canselor Jerman, Angela Merkel (5).
Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen pula melonjak tangga keenam berbanding tempat tercorot 72 pada tahun lalu dengan mendahului beberapa nama besar seperti Bill Gates dan Mario Draghi.
Pada usia 30 tahun, pengasas laman sosial popular, Facebook, Mark Zuckerberg menjadi individu termuda berada dalam senarai apabila menduduki tangga ke-22 individu paling berkuasa di dunia. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3IKnqItXV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment