Memetik laporan portal propembangkang, Malaysiakini dan portal berita, Malay Mail Online, Muhammad Shafee menyatakan, kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu antara lainnya membayangkan Mahkamah Persekutuan merupakan alat kerajaan untuk memaksanya bersara.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pendakwa Raya yang dilantik oleh Peguam Negara itu kepada panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan semula pihak pembelaan.
Menurut Muhammad Shafee, beliau tidak mengambil kisah mengenai laporan itu yang turut menyentuh mengenainya dan menganggapnya sebagai `usikan seorang sahabat’.
Namun, ujar beliau, terdapat beberapa kenyataan Anwar yang boleh dianggap menghina terutamanya apabila beliau menggambarkan Mahkamah Persekutuan sebagai sebuah institusi kehakiman yang tidak bebas dan boleh diperalatkan.
“Mungkin perayu boleh mengesahkan sama ada benar dia ada me­ngeluarkan kenyataan sebagai­ma­na dalam berita tersebut atau sebaliknya. Sekiranya tidak, beliau perlu minta maaf kerana tidak membetulkan kenyataan tersebut,” katanya.
Sebaik sahaja selesai, peguam bela utama Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram bertanya kepada mahkamah sama ada perlu beliau menjawab isu yang dibangkitkan oleh Muhammad Shafee.
Hakim Arifin bagaimanapun meminta semua pihak meneruskan dengan prosiding rayuan itu.
Sementara itu, Shafee ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Anwar bakal didakwa atas tuduhan menghina mahkamah kerana mengeluarkan kenyataan berhubung kes liwatnya itu kepada media pada Selasa lalu.
Katanya, pihak pendakwaan akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Anwar pada prosiding berasingan dengan Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu akan menilai kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan sebelum meneruskan kes itu ke peringkat selanjutnya.
“Saya telah memaklumkan perkara ini dalam prosiding mahkamah tadi dan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria merekodkannya dan meminta ia dibuat dalam prosiding berasingan.
“Adalah tugas Jabatan Peguam Negara untuk mempertahankan maruah mahkamah dan sekiranya institusi ini dihina, individu berkenaan perlu dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Peguam, Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar pula berkata, pasukan pembelaan bersedia menjawab dakwaan Muhammad Shafee itu yang akan dibuat pada prosiding berlainan.
Katanya, pihaknya tidak men­jawab dakwaan menghina mahkamah dalam prosiding hari ini kerana masih meneruskan hujahan semula yang dijangka selesai selewat-lewatnya petang ini.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu itu, Anwar menjelaskan bahawa beliau akan berbincang bersama peguamnya dengan meneliti semula kenyataan yang didakwa menghina mahkamah tersebut.
Enggan mengulas lanjut, Anwar meminta semua pihak berkenaan untuk bersabar sekiranya mahu meneruskan tindakan prosiding menghina mahkamah terhadapnya.
“Tunggu satu-satu, takkan nak dakwa saya dengan semua kes pada hari ini,” katanya.