Chris Alexander
OTTAWA 6 Nov. – Kanada dilaporkan merancang untuk mengharamkan kemasukan migran yang mengamalkan poligami, yang disifatkan oleh Menteri Imigeresen negara ini, Chris Alexander sebagai `amalan budaya kejam’.
Tindakan itu dibuat ekoran beberapa siri pembunuhan `demi menjaga maruah’ sejak kebelakangan ini membabitkan keluarga pendatang dari Asia Barat dan Asia Selatan.
“Kami memperkuatkan undang-undang kami bagi melindungi rakyat Kanada dan pendatang baharu ke Kanada daripada amalan budaya kejam.
“Kami sedang menghantar satu mesej kuat kepada mereka di Kanada dan mereka yang berhasrat untuk datang ke Kanada bahawa kami tidak akan bertolak ansur soal tradisi di Kanada yang menghalang individu mengamalkan hak asasi mereka,’’ katanya.
Pindaan akta Imigresen Kanada juga mungkin mengharamkan perkahwinan paksa, yang menetapkan had umur minimum bagi sesuatu perkahwinan adalah pada usia 16 tahun dan menghadkan kemungkinan pertahanan dalam pembunuhan `demi menjaga maruah’ dan pembunuhan isteri.
Dalam pembunuhan demi menjaga maruah bagi melindungi apa yang dianggap sebagai maruah keluarga, alasan sebagai tanda tidak bersetuju boleh membabitkan hubungan di luar agama atau kasta seseorang individu.
Mei lalu, sebuah mahkamah memerintahkan seorang ibu dan bapa saudara kepada seorang wanita Kanada yang didakwa dibunuh di luar negara berikutan perkahwinan rahsianya dengan seorang penarik beca miskin supaya diekstradisi ke India bagi berdepan pertuduhan membunuh dan bersubahat.
Dalam satu lagi kes lain membabitkan keluarga yang berasal dari Pakistan, bapa dan seorang abang kepada seorang remaja 16 tahun mengaku bersalah pada 2010 kerana membunuh perempuan itu kerana ingkar perintah ayahnya termasuk enggan memakai tudung. – AFP
No comments:
Post a Comment