NAYPYITAW: Amerika Syarikat menggesa Myanmar supaya menyediakan draf perancangan terbaharu bagi membenarkan golongan minoriti Rohingya menjadi warga negara dan membatalkan langkah untuk menghantar mereka ke kem tahanan sekiranya enggan mengaku diri sebagai Benggali.
Majoriti daripada 1.1 juta penduduk Muslim Rohingya tidak bernegara dan hidup seperti dalam keadaan aparteid di wilayah Rakhine, di pantai barat negara itu yang mempunyai majoriti penduduk beragama Buddha.
Kira-kira 140,000 orang kehilangan tempat tinggal selepas pertempuran dengan golongan etnik beragama Buddha di Rakhine pada 2012.
Pelan Tindakan Wilayah Rakhine itu mensyaratkan penduduk Rohingya berkenaan supaya menganggap diri mereka sebagai Benggali - terma yang ditolak kebanyakan daripada mereka kerana ia merujuk sebagai golongan pendatang dari Bangladesh walaupun menetap di Myanmar selama beberapa generasi - bagi memungkinkan mereka mendapat taraf kewarganegaraan.
Menurut draf perancangan berkenaan, kerajaan mencadangkan pihak berkuasa membina kem sementara bagi menempatkan penduduk Rohingya yang enggan didaftarkan dan tidak ada dokumen yang mencukupi.
Timbalan Penasihat Komunikasi Strategik bagi Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Ben Rhodes berkata, perancangan itu mencabuli hak sejagat dan mencabar usaha pembaharuan di Myanmar.
"Kami ingin melihat perancangan baharu yang membenarkan Rohingya menjadi warga negara melalui proses biasa tanpa memerlukan mereka membuat pengenalan sendiri," katanya di Naypyitaw di mana Presiden Barack Obama akan menemui pemimpin negara berkenaan pada sidang kemuncak serantau.
Obama akan berada di Yangon, bandar raya terbesar Myanmar esok bagi menemui pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi di kediamannya. Suu Kyi menghabiskan lebih 15 tahun di bawah tahanan dalam rumah berikutan bantahannya terhadap bekas tentera junta.
Suu Kyi yang menjadi ikon demokrasi antarabangsa selepas memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 1991, didapati kurang bercakap mengenai nasib Rohingya.
Rhodes menggesa beliau supaya bercakap mengenai penderitaan yang dialami golongan berkenaan.
"Pandangannya sudah tentu amat penting," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment