Friday, November 14, 2014

Batalkan semua saman nombor plat


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) segera membatalkan saman yang dikeluarkan terhadap kesalahan nombor plat.

Beliau merujuk kepada surat yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan kepada Pengarah JPJ yang meminta agar jabatan itu memberhentikan operasi penguatkuasaan terhadap nombor plat.

"Kalau betul apa yang diperkatakan surat tersebut, saya mengharapkan penangguhan operasi nombor plat itu mesti disusuli dengan pembatalan terhadap saman-saman yang telah dikeluarkan.

"Kerana penangguhan ini merupakan satu pengakuan kesilapan dari kementerian khususnya JPJ, bila silap maka saman perlu dibatalkan," katanya kepada Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut berterima kasih kerana kerajaan dan JPJ mengambil maklum kritikan dan pandangan rakyat berhubung dengan kesalahan membabitkan nombor plat.

Bagaimanapun, beliau mahukan jawapan positif dari kerajaan berhubung gesaannya agar kesemua saman nombor plat sebelum ini dibatalkan.

"Selepas ini diharapkan JPJ tidak mengulangi lagi kenyataan atau alasan yang tidak masuk akal, mereka harus membawa ke meja perundingan untuk mencari penyelesaian bagi mengatasi kemalangan.

"Kita dari PAS sedia duduk semeja dengan kementarian serta JPJ untuk memberi pendapat bagi kebaikan bersama," katanya sambil menggesa Peraturan Kenderaan dan Pelesenan 1959 dikaji semula kerana didakwa tidak lagi releven dengan keadaan sekarang. -HARAKAHDAILY 13/11/2014

No comments:

Post a Comment